Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Dewan Jamuan, Masjid Negeri, Shah Alam pada 21 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Proses pemutihan pusat tahfiz hampir selesai, tunggu kelulusan bomba

SHAH ALAM, 21 MEI: Proses pemutihan maahad tahfiz persendirian di Selangor hampir selesai dan hanya menunggu kelulusan bomba berkait isu keselamatan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan kini mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (CF) khususnya premis bertingkat bagi memenuhi kriteria ditetapkan.

“Perkara penting adalah mendapatkan CF khususnya bangunan besar dan bertingkat kerana kosnya besar. Ini agak mencabar untuk beberapa tahfiz tetapi kita cuba selesaikan dengan bomba.

“Aspek keselamatan penting, sebab itu kena selesaikan hal ini. Bagaimanapun, aspek lain dipenuhi,” katanya ditemui pada Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor di sini hari ini.

Pelajar Maahad Tahfiz Darul Salamah tekun menghafal al-Quran di Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam pada 21 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, berucap pada majlis tersebut, Amirudin berharap golongan pendidik dapat menggalas amanah diberikan dengan ikhlas dan menjalankan tanggungjawab mendidik sebaiknya.

“Kita bukan hendak buat sebuah kereta, sebilah pedang atau sebentuk cincin tetapi hendak bentuk manusia. Tersalah cara, kaedah atau pendekatan mungkin akan merosakkan.

“Jika betul penyampaian ilmunya, akhlak, pemahaman dan kaedah pengurusan, Insya-Allah akan lahirkan manusia baik sebagaimana dikatakan dalam Islam,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin meminta semua pihak supaya tidak mengulangi fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Pada 27 Jun tahun lalu, Kerajaan Selangor memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Ia membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).


Pengarang :