DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) bersama peserta Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor edisi kelima (SAY LED) di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 15 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Raja Muda berkenan nobat tiga ikon usahawan OKU Selangor

SUBANG JAYA, 15 MEI: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menobatkan tiga usahawan orang kurang upaya (OKU) sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor.

Tiga peserta itu dinobatkan pada pusingan akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) edisi kelima hari ini mengatasi tujuh peserta lain yang diadili Tengku Amir bersama empat juri lain.

Johan menjadi milik usahawan minuman kesihatan Ahmad Anda Ismail sementara naib johan Mahmud Rasul (kuih raya) dan tempat ketiga Sazman Nazlee Adha Mohd Ali (syarikat fotografi).

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor edisi kelima (SAY LED) Ahmad Anda Ismail di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 15 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kesemua mereka menerima piala dan sijil pengiktirafan daripada Selangor Youth Community (SAY) serta geran perniagaan berjumlah RM4,000 (juara), RM3,000 (naib juara) dan RM2,000 (tempat ketiga).

Pemenang juga menerima geran perniagaan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bernilai RM2,000 setiap seorang.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah memberi kata semangat kepada peserta Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor edisi kelima (SAY LED) di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 15 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selain itu, mereka layak menyertai SAY LEAD+ program bimbingan selama setahun bagi membantu mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baru, pendigitalan perniagaan, pasaran eksport dan reruai percuma.

Program SAY LEAD edisi kelima yang berlangsung sejak Oktober tahun lalu disertai 30 peserta yang menjalani kursus profil keusahawanan, model perniagaan kanvas serta rancangan perniagaan.

Kursus lain adalah penjenamaan dan pendigitalan pemasaran, pengurusan kewangan, sesi perkongsian bersama agensi berkaitan, bengkel dan pembentangan perniagaan.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat reruai pada Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor edisi kelima (SAY LED) di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 15 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pusingan akhir liga usahawan OKU Selangor turut diadili empat juri lain iaitu Ketua Bahagian Penasihat dan Pemantauan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Ahmad Daud Abdul Rashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Muhd Firdaus Azharuddin.

Juri lain, Pengurus Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Yuzawati Yusof dan Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) Mohamad Syukri Ismail.


Pengarang :