Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi beroperasi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rapid KL perluas jaringan van transit di stesen LRT Sri Rampai

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Rapid Bus Sdn Bhd akan memperluas jaringan perkhidmatan van Demand Responsive Transit (DRT) di laluan T221 stesen transit aliran ringan (LRT) Sri Rampai – Giant Ulu Kelang bermula 20 Mei (Isnin) ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata perkhidmatan van DRT itu akan beroperasi serentak dengan bas Rapid KL bagi laluan T221 selama dua hingga empat minggu.

“Rapid Bus akan menggunakan tempoh ini untuk menganalisis trend penggunaan dan permintaan penumpang. Ini ialah tempoh peralihan sebelum beralih sepenuhnya kepada van DRT sebagai mod pengangkutan tetap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan van DRT berkenaan menggunakan konsep pesanan di hujung jari dan menawarkan fleksibiliti untuk menempah perjalanan mengikut masa yang diinginkan melalui aplikasi Kumpool.

Laluan yang dipilih untuk perkhidmatan DRT itu katanya, adalah dari laluan yang mempunyai kadar pengguna dan kekerapan agak rendah.

“Bagi memberi nafas baharu dan merancakkan lagi pengangkutan awam di Lembah Klang, kami di Rapid Bus merangka penambahan laluan menggunakan mod DRT ini, yang pastinya lebih pantas, tidak kira pada waktu puncak mahupun luar waktu puncak. Masa perjalanan para penumpang juga lebih pendek,” katanya.

Muhammad Yazurin berkata Pengenalan DRT laluan T221 ini menjadikan jumlah van yang telah dilancarkan setakat ini kepada lima buah termasuk kawasan LRT Wangsa Maju, LRT Alam Megah, LRT Taman Paramount dan LRT Taman Bahagia.

“Menjelang penghujung bulan Jun 2024, Rapid Bus akan memperluas lagi jaringan DRT dengan lebih 15 van di beberapa stesen LRT yang lain di Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata Perkhidmatan DRT menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 11.30 malam dengan tambang pengenalan RM1 untuk setiap perjalanan.

“Penumpang boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50 serta kad Touch ‘n Go, Pas MyCity, Pas Famili, Kad Konsesi MyRapid, Pas Perjalanan Percuma OKU Smile atau secara tunai,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :