Skuad hoki dalam dewan wanita kebangsaan tewas 1-5 kepada Kazakhstan dalam saingan ketiga Kumpulan A, Piala Asia 2024 di Chonburi, Thailand pada 14 Mei 2024. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Rekod bersih skuad hoki wanita negara dicalar Kazakhstan

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Momentum kemenangan skuad hoki dalam dewan wanita kebangsaan pada Piala Asia 2024 terhenti selepas mengalami kekalahan pertama di tangan Kazakhstan, 1-5, pada saingan ketiga Kumpulan A, di Chonburi, Thailand hari ini.

Aksi berlangsung di Thailand National Sport University (TNSU) Kampus Chonburi menyaksikan Kazakhstan membuka tirai jaringan pada minit ke-12 hasil jaringan pukulan sudut penalti Viktoriya Labanova disusuli gol dari situasi sama oleh Balzhan Baisenbay, selang dua minit kemudian.

Kazakhstan terus menambah derita skuad negara apabila Viktoriya Lyapina menyumbat masuk gol padang pada minit ke-23 sebelum tonggak pertahanan kebangsaan, Fazila Sylvester Silin memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-28 untuk menjaringkan gol sagu hati buat Malaysia.

Bagaimanapun, pasukan lawan kembali melebarkan kedudukan apabila Lovanova dan Baisenbay masing-masing menggandakan jaringan peribadi pada minit ke-33 menerusi pukulan sudut penalti serta minit ke-34 hasil jaringan padang.

Ketua jurulatih Mohd Rodzhanizam Mat Radzi mengakui anak buahnya tidak menampilkan permainan baik seperti ditampilkan mereka ketika membelasah Vietnam 25-0 dan Oman 12-1, semalam.

“Pemain masih melakukan kesilapan mudah dan tidak menterjemahkan kelebihan pukulan sudut penalti kepada jaringan.

“Kelemahan pada perlawanan ini perlu segera kami baiki menjelang pertemuan dengan Iran (petang ini).

“Iran juga merupakan pasukan yang mampu memberikan aksi yang baik dan kami tidak boleh memandang mudah terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan oleh Konfederasi Hoki Malaysia.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

– BERNAMA


Pengarang :