Selangor FC berkongsi kata-kata semangat yang dipamerkan penyokong pasukan itu buat pemain sayap Faisal Halim yang kini dirawat di hospital susulan kejadian disimbah asid pada 5 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Selangor FC hargai peminat seluruh negara pamer sokongan buat Faisal

SHAH ALAM, 15 MEI: Selangor FC berterima kasih kepada peminat pasukan itu di seluruh negara atas sokongan tidak terhingga buat pemain sayap Faisal Halim yang kini sedang dirawat.

Berkongsi beberapa keping gambar di Facebook rasminya, menurut pasukan itu, kata-kata semangat dan doa akan memotivasikan Faisal untuk terus kuat dan sembuh sepenuhnya.

“Terima kasih kepada semua penyokong atas sokongan tak terhingga dan sentiasa menyimpan Faisal Halim dalam doa anda.

“Kata-kata semangat dan doa anda pasti akan memotivasikan beliau untuk terus kuat dalam perjalanannya menuju kesembuhan,” tulis pasukan itu.

Foto Facebook Selangor FC

Berdasarkan gambar yang dipaparkan, penyokong pasukan itu menitipkan kata-kata semangat atas kain rentang tertea ‘Stand with Faisal Halim, Stop The Violence’ dan ‘Pray for Faisal Halim’.

Kain rentang yang dipercayai dipasang sekitar Lembah Klang turut memaparkan ‘Doa buat Faisal Halim’, ‘Have a Speedy Recovery Faisal Halim! We are behind you’ dan ‘With Love Faisal Halim’.

Sebelum ini, papan iklan besar tertulis ‘Stand with Faisal Halim, Stop The Violence’ dipasang di beberapa kawasan sebagai tanda setia kawan bersama pemain Selangor FC itu.

Faisal dirawat selepas mengalami kelecuran tahap empat susulan disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, 5 Mei lalu.

Tonggak sayap kebangsaan itu juga sudah melalui tiga proses pembedahan termasuk prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tersebut.

Semalam, ahli lembaga pengarah Selangor FC dilaporkan berkata Faisal mungkin dibenarkan pulang sekurang-kurangnya dua minggu lagi selepas keadaan kesihatannya bertambah baik.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata doktor masih memantau tahap pemulihannya dan hanya pakar yang boleh memberikan jawapan tepat mengenai tempoh masa itu.

 

 


Pengarang :