Pemain Selangor FC turut menunjukkan tanda solidariti kepada rakan sepasukan, Faisal Halim ketika perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Selangor raih mata penuh, pemain, penyokong pamer solidariti ke atas Faisal

SHAH ALAM, 18 MEI: Jaringan tunggal Alif Haiqal Lau membantu Selangor FC meraih mata penuh ke atas Kedah (KDA FC)  1-0 dalam saingan Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Jaringan pada minit ke-84 pemain nombor 77 itu membolehkan Selangor FC pulang dengan tiga mata selepas hilang tiga mata pada aksi pembukaan apabila menarik diri saingan Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), minggu lalu.

Pada minit ketujuh, penyokong kedua-dua pasukan menunjukkan tanda solidariti dengan berdiri dan menepuk tangan kepada Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid 5 Mei lalu.

Penyokong mengambil gambar bersama mural wajah Faisal Halim ketika tinjauan di luar stadium ketika perlawanan antara Selangor FC dan KDA FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Minit ketujuh dipilih sebagai simbolik kepada nombor jersi Faisal atau dikenali Mickey bersama pasukan Gergasi Merah dan pasukan kebangsaan.

Selain itu lukisan mural gergasi memaparkan wajah Faisal turut menjadi tumpuan penyokong.

Mural dengan catatan ‘A Dark Moment in Football, That Unites Us Together We are Faisal Halim’ itu menjadi tumpuan penyokong terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Faisal mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid dua individu tidak dikenali. Hingga kini Faisal menjalani tiga pembedahan untuk merawat kelecuran itu.

Beliau sudah menunjukkan petanda positif untuk pulih selain dipindahkan ke wad biasa daripada unit rawatan rapi (ICU).

Selepas ini, Selangor FC berkunjung ke Paroi berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) sementara KDA FC kembali ke Darul Aman untuk melayan kunjungan Perak FC.

Papan digital memaparkan kata-kata semangat buat Faisal Halim di hadapan pintu stadium ketika perlawanan Selangor FC dan KDA FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :