Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas sidang media Selangor International Junior Golf Championship 2024 dan PKNS Selangor Masters 2024 di Kelab Golf Seri Selangor pada 30 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor terbuka jelaskan isu lantikan syarikat kendali van transit

PETALING JAYA, 30 MEI: Selangor terbuka untuk menerangkan isu pelantikan syarikat pengendali perkhidmatan projek rintis van transit atas permintaan (DRT) di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pihaknya sedia mendedahkan segala butiran berkaitan dengan mana-mana pihak berikutan ia mengikut tatacara betul.

“Kita tiada masalah kerana kita ada jawatankuasa dewan dan mereka boleh minta minit mesyuarat yang turut dihadiri oleh Apad (Agensi Pengangkutan Awam Darat).

“Kita sangat terbuka dan ada kebebasan maklumat. Tiada benda pelik,” katanya dalam sidang media Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor dan PKNS Selangor Masters di sini hari ini.

Amirudin menambah dua syarikat yang dilantik iaitu Asia Mobility Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd dilibatkan dalam proses pembuktian konsep (proof of concept) DRT.

Beliau menjelaskan proses tersebut dibuat mengikut pertimbangan dan perbincangan bersama Apad serta menepati piawaian ditetapkan pihak berwajib demi keselamatan pengguna.

“Kedua-dua syarikat diberikan kebenaran untuk pembuktian konsep, justeru Kerajaan Negeri menjemput mereka. Jadi kena faham. Jangan melulu cakap tender terbuka atau tertutup.

“Daripada awal persoalan itu cuba dikelirukan mereka yang mengambil kesempatan. Syarikat ini ada jajarannya yang harus diberikan kebenaran serta rujukan oleh Apad,” katanya.

Semalam, EXCO Mobiliti Ng Sze Han menegaskan pelantikan dua syarikat pengendali perkhidmatan DRT di Selangor iaitu Asia Mobility Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd bukan secara rundingan terus.

Katanya, kedua-dua syarikat dilibatkan dalam proses pembuktian konsep DRT berikutan hanya mereka memiliki lesen Apad yang mematuhi piawaian termasuk had usia kenderaan kurang 10 tahun.

Sebelum ini, terdapat pihak mendakwa projek tersebut diberi secara runding terus kepada sebuah syarikat, namun disangkal ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menegaskan kesalahan hanya akan berlaku jika kontrak tersebut diberikan oleh menteri atau kementerian yang diterajuinya kepada syarikat terlibat.


Pengarang :