Skuad hoki Selangor menjalani latihan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal berlangsung di Sarawak. Foto Facebook Selangor Hockey Association pada 28 Januari 2024
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Senarai akhir atlet Selangor ke SUKMA dijangka awal Julai

SHAH ALAM, 16 MEI: Senarai akhir atlet Selangor yang akan beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak dijangka diketahui awal Julai ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan dijadual bermula 17 hingga 24 Ogos depan sedang dibuat termasuk memantau prestasi atlet.

“Setiap atlet kita mempunyai kad skor masing-masing bagi memantau prestasi dan pencapaian mereka merangkumi pelbagai aspek termasuklah kecergasan, kemahiran dan mental.

“Setiap jurulatih sukan akan menentukan atlet yang layak ke SUKMA berdasarkan prestasi mereka dan dijangka awal Julai senarai pendek (nama) akan diputuskan,” kata Mohamad Nizam Marjugi.

Mohamad Nizam menjelaskan kontinjen Selangor sedang membuat persiapan rapi dengan latihan intensif diadakan bagi mempersiapkan bagi pasukan masing-masing.

“Penumpuan turut diberikan kepada beberapa acara seperti olahraga, renang, memanah dan menembak dengan persediaan menyeluruh termasuk fizikal, kecergasan, mental dan psikologi.

“Kita mahu pastikan sekurang-kurangnya kita memiliki satu atlet (terutama bagi sukan tumpuan) yang mampu beraksi cemerlang untuk merebut pingat,” katanya.

Mac lalu, EXCO Sukan Najwan Halimi dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) memaklumkan kontinjen Selangor menurunkan kira-kira 1,138 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 37 jenis sukan pada SUKMA ke-21.

Menurut Najwan kontinjen Selangor optimis untuk berada pada kedudukan tiga teratas dalam temasya dwitahunan itu.


Pengarang :