Pelari menara nombor satu dunia Soh Wai Ching memenangi kategori lelaki terbuka larian Menara Naza 2024 di Kuala Lumpur dengan catatan masa terpantas lima minit dan 16 saat. Foto Facebook Soh Wai Ching Towerrunner
AGENDASUKANKINI

Soh Wai Ching tawan menara 49 tingkat, catat kemenangan ke-11 tahun ini

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Jaguh larian menara negara Soh Wai Ching ternyata sukar digugat selepas mendominasi kategori lelaki terbuka larian Menara Naza 2024 di sini hari ini.

Pelari menara nombor satu dunia itu jelas berada dalam kelas tersendiri sejak awal saingan sebelum berjaya menawan menara setinggi 49 tingkat itu dengan masa terpantas lima minit dan 16 saat (s).

Wai Ching meninggalkan pencabar terdekat Muhammad Hazim Zuhairi Azahari yang meraih tempat kedua dengan 6:02s manakala Wong Chin Chun di tempat ketiga menerusi catatan 6:45s pada edisi sulung perlumbaan tersebut.

“Walaupun kali pertama dianjurkan perlumbaan di sini, ia berlangsung dengan baik dari segi keadaan tangga, mempunyai kedua-dua pemegang kiri dan kanan serta berhawa dingin. Ia akan memberi galakan buat pelari untuk menyertai perlumbaan ini pada edisi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelari berusia 29 tahun itu berkata kejayaan diraih hari ini merupakan kemenangan kesebelas tahun ini dan beliau bakal menyertai saingan di Poland dan Jerman minggu depan sebagai usaha memburu 30 gelaran sepanjang 2024.

Bagi kategori terbuka wanita, wakil dari Singapura Serene Cheong muncul juara dengan merekodkan masa 7:16s bagi menafikan kemaraan dua pelari tempatan Michele Tan (7:42s) dan Teo Sze Hui (8:04s), masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Perlumbaan tersebut berjaya menarik penyertaan 200 peserta termasuk wakil dari 15 negara antaranya Singapura, Austria, Kenya, Switzerland, Pakistan, Nepal dan Brunei.

– BERNAMA


Pengarang :