Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama calon HARAPAN Pang Sock Tao (tiga, kanan) bersorak selepas diisytihar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Bilik Gerakan Kerajaan Perpaduan Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SPR umum Sock Tao menang, majoriti 3,869 undi

Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) selepas calonnya Pang Sock Tao memenangi pilihan raya kecil dengan majoriti 3,869 undi.

Sock Tao memperoleh 14,000 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut (10,131 undi), calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainuddin (152 undi).

Kira-kira 60 peratus daripada 39,362 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Laporan perjalanan dan situasi semasa PRK KKB bermula 8 pagi seperti berikut:

9.48 malam: Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Pang Sock Tao memenangi pilihan raya kecil DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 undi.

9.30 malam: Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan kepercayaan orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan berkembang manakala sokongan masyarakat Cina dan India serta orang Asli terus mengukuh.

“Ini adalah tanda sebagai rakyat Malaysia, kita menerima bahawa kita saling memerlukan. Kerajaan Perpaduan adalah gabungan tepat yang mampu majukan negara dan membela rakyat secara adil,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menerusi kenyatan media.

8.55 malam: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pang Sock Tao kerana mempertahankan kerusi Kuala Kubu Baharu berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Calon Pakatan harapan (HARAPAN) Pang Sock Tao mengangkat tangan kepada media selepas diisytihar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Bilik Gerakan Kerajaan Perpaduan Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

8.25 malam: Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (HARAPAN) mengucapkan tahniah kepada calon gabungan itu Pang Sock Tao.

“Kejayaan ini menunjukkan kerjasama Kerajaan Perpaduan berada di landasan yang tepat,” kata Ng Sze Han, yang juga setiausaha DAP Selangor di Facebook.

“Kami ingin melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada rakyat Kuala Kubu Baharu yang memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan bagi terus menabur khidmat bakti buat rakyat di sini.”

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah undi dan majoriti yang diraih oleh Sock Tao.

8.15 malam: Seperti dilaporkan siaran langsung di YouTube UbahTV, bilik gerakan utama Pakatan Harapan (HARAPAN) mengumumkan Sock Tao menang.

Bagaimanapun keputusan rasmi belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

6 petang: Proses pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang bermula 8 pagi selesai selepas semua pusat mengundi ditutup pada jam 6 petang.

Semua peti undi dari 18 pusat pengundian melibatkan 74 saluran akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menjangka keputusan rasmi diumum 9 malam ini.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu pengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Kamaruddin, Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

5.30 petang: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) mencatatkan 55.79 peratus setakat 4 petang, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian masih berlangsung dalam suasana hujan dan pusat pengundian akan ditutup pada 6 petang ini.

Cuaca hujan di Batang Kali, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

4.30 petang: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda daerah Hulu Selangor sehingga jam 6 petang ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi yang direkod setakat 3 petang ialah 50.87 peratus.

Nor Hidayah Md Ma’amor, 29, yang masih berpantang turut membuang undi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Kamaruddin, Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

3. 30 petang: Seorang ibu yang baru 15 hari bersalin tetap bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu hari ini.

Nor Hidayah Md Ma’amor, 29, berkata beliau rasa rugi jika tidak turun mengundi dan menunaikan haknya untuk memilih.

“Ini peluang memilih wakil rakyat yang akan menyuarakan suara penduduk setempat. Jadi, turunlah mengundi.

“Suarakan dan tunai hak anda,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Kamaruddin, Kuala Kubu Bharu.

Orang ramai membuang undi di pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (cina) Khing Ming, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

2.40 petang: Satu daripada 18 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) ditutup jam 2 petang.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Yuhanas Auree Kamaruddin berkata peti undi kemudian akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.

Sementara itu, menurut SPR peratusan keluar mengundi yang direkod setakat 2 petang 44.68 peratus.

Habsah Othman, 73, (kanan) membantu anaknya orang kurang upaya (OKU) Muhammad Hafiz Abdul Majid, 31, yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

1.58 petang: Seorang ibu bersama anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) saraf membuang undi di Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali, di sini.

Habsah Othman, 73, menolak kerusi roda anaknya Muhammad Hafiz Abdul Majid, 31, yang baharu pertama kali mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

“Walaupun anak saya kurang upaya kami suami isteri tetap membawanya pergi mengundi untuk memilih pemimpin masa depan.

“Alhamdulillah, giliran menunggu pun tidak lama mungkin kerana anak saya OKU, saya pun warga emas ada laluan khas,” katanya.

Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membuang undi di pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (cina) Khing Ming, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

12.48 tengah hari: Peratusan mengundi di PRK DUN KKB lebih rendah berbanding PRK DUN Pelangai (17 Oktober 2023) dan PRK Parlimen Kemaman (2 Disember 2023).

Setakat 12 tengah hari tadi, hanya 32.51 peratus turun mengundi di PRK KKB berbanding 44 peratus ketika PRK DUN Pelangai dan (35 peratus) PRK Parlimen Kemaman.

Pasangan suami isteri Abdul Rahim Bidin, 67, dan Norani Mansor, 65, selesai membuang undi di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming selepas menempuh perjalanan hampir 200 km dari Kuala Kangsar ke Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI

11.58 pagi: Pasangan warga emas menempuh perjalanan hampir 200 kilometer dari Kuala Kangsar bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Abdul Rahim Bidin, 67, berkata dia dan isteri Norani Mansor, 65, yang bertolak sebelum Subuh mengambil masa lebih tiga jam untuk ke Kuala Kubu Baharu.

“Walaupun jauh saya tetap mahu mengundi. Dulu saya tinggal sini dan berpindah ke Kuala Kangsar sejak 10 tahun lalu” kata bekas kakitangan swasta itu selepas membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming

Pengundi Chan Sher Ni, 25 (dua, kiri) bersama kembarnya Chan Sher Er, 25 bergambar bersama calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Toa dan kembarnya Pang Sock Ying (kanan) selepas membuang undi di pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (cina) Khing Ming, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

10.55 pagi: Kehadiran kembar kepada calon Kerajaan Perpaduan mendapat perhatian pengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming, di sini.

Lebih menariknya, Pang Sock Tao dan Pang Sock Ying, 31, turut bertemu pasangan kembar yang turun mengundi Chan Sher Er dan Chan Sher Ni, 25.

“Sudah beberapa kali saya teman adik (Sock Tao) berkempen. Masa penamaan juga saya ada datang beri sokongan,” kata Sock Ying yang bekerja sebagai pegawai bank.

Orang Kurang Upaya (OKU) Goh Liew Yong, 36, bersama ibunya Wee Mary, 70, membuang undi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

9.40 pagi: Orang kurang upaya (OKU) kategori sindrom down Goh Liew Yong, 36, selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu.

Ditemani ibunya, Wee Mary, 70, Liew Yong yang sudah berpengalaman mengundi sebelum ini kelihatan bersemangat menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat.

Sementara itu, Wee Mary yang sudah lebih lima kali mengundi di DUN berkenaan menyeru orang ramai memanfaatkan peluang untuk keluar mengundi.

“Tidak kira anda OKU, warga emas atau anak muda, jika layak anda perlu cuba sedaya upaya datang ke pusat mengundi untuk memilih pemimpin kawasan,” katanya.

Seorang warga emas Rosli Sarip, 75 mendaftar bagi membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

8.50 pagi: Seorang warga emas berkerusi roda hadir sendirian di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali di sini sekitar jam 7.15 pagi bagi membuang undi.

Mengakui bersemangat untuk mengundi, Rosli sarip, 75, memilih untuk keluar awal ke pusat mengundi yang terletak kurang satu kilometer dari rumahnya.

“Saya mengundi sejak usia 21 tahun hingga sekarang. Penting keluar mengundi kerana ini juga untuk masa depan kita untuk memilih seorang pemimpin yang bertanggungjawab,” katanya.

Yap Yu Seng, 19,

Sementara itu, pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu Yap Yu Seng, 19, teruja pertama kali mengundi dan memilih untuk datang awal ke pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming, sebelum memulakan program sekolahnya di Dataran KKB.

“Saya sampai dalam 7.50 pagi sebab 8.30 pagi perlu ke Dataran KKB untuk program sekolah. Saya tak mahu lepaskan peluang ini jadi minta ayah hantar awal (pusat mengundi),” katanya.

Orang ramai mula beratur di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu seawal 5 pagi bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi pada 11 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

7.45 pagi: Tinjauan Selangorkini di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pechah di sini mendapati orang ramai sudah mula beratur bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi hari ini.

Pekebun B Kartik, 40, dari Taman Ampang Pechah di sini berkata beliau tiba jam 5 pagi di pusat mengundi berkenaan walaupun rumahnya hanya dua kilometer dari lokasi pengundian.

B Kartik, 40

“Saya memang mahu datang awal. Bukan sebab malas beratur panjang tetapi sebab semangat mahu mengundi,” katanya.

Terdapat lapan saluran disediakan di pusat mengundi ini bagi PRK KKB yang dibuka mulai 8 pagi hingga 6 petang ini.

 

 


Pengarang :