Pihak media meninjau operasi mesin pengutip sampah Interceptor 002 ketika lawatan bersama Tourism Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) di Sungai Klang pada 20 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sungai Klang makin bersih, sampah berkurang hampir tiga kali ganda

KLANG, 28 MEI: Kutipan sampah di Sungai Klang menurun 67 peratus daripada 16,000 tan metrik pada 2019 kepada 5,800 tan metrik tahun lalu, kata EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim.

Menurutnya, pembersihan menggunakan mesin Interceptor 002 sebahagian usaha bawah Projek Gerbang Maritim Selangor kendalian Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) demi kelestarian Sungai Klang.

Beliau menjelaskan pembersihan Sungai Klang yang dilaksana ketika ini juga tidak hanya bergantung kepada Interceptor semata-mata, sebaliknya turut melibatkan penguatkuasaan.

“Setakat ini, kutipan sampah daripada Interceptor 002 mencatat penurunan 67 peratus. Biarpun memasuki tahun kelima, keadaan mesin masih dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui.

“Selain Interceptor, kita juga memasang perangkap sampah bersama pihak berkuasa tempatan dan memantau kualiti air untuk mengesan punca pencemaran selain melaksana program kesedaran.”

Dalam pada itu, Ir Izham memberitahu matlamat negeri untuk menambah baik kualiti air di sungai berkenaan belum tercapai sepenuhnya dan akan terus dipergiat saban tahun.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (dua kanan) mendengar taklimat berhubung operasi Interceptor 002 daripada wakil Landasan Lumayan Sdn Bhd selaku pengendali Projek Gerbang Selangor Maritim pada majlis penerimaan penajaan daripada Kumpulan Affin di Jeti Taman Awam Pangkalan Batu, Klang pada 28 Mei 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

Sebelum ini, LLSB berjaya mengeluarkan 88,000 tan metrik sampah daripada Sungai Klang sejak 2016 sehingga Ogos 2023 menggunakan Interceptor 005 dan 002 serta tujuh perangkap sampah.

Dalam perkembangan lain, Ir Izham yakin projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Selangor yang dibangunkan bagi menangani masalah gangguan bekalan air bakal beroperasi Ogos ini.

“Projek itu berjalan dengan baik dan dalam landasan betul untuk mencapai sasaran ditetapkan,” katanya mengulas perkembangan projek berkenaan.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM332 juta untuk menjayakan SJAM termasuk RM100 juta yang dikhaskan bagi menjamin operasi loji rawatan air jika berlaku pencemaran.

Skim berkenaan turut merangkumi beberapa langkah penyelesaian lain antaranya pindaan enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pemantauan skuad pantas agensi berkenaan.


Pengarang :