EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han pada sidang media penyelesaian masalah banjir di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 21 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tambahan van transit di kawasan ramai pelajar, zon pengangkutan awam

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Negeri memuktamadkan kawasan tambahan bagi perkhidmatan van transit (DRT) Mobiliti Selangor dalam tempoh sebulan lagi.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata pihaknya bercadang untuk menumpu di kawasan yang berkepadatan pelajar dan zon pengangkutan awam.

“Kita perlu tunggu tamat tempoh fasa pertama terlebih dahulu dan selepas buat analisa kita akan melihat kepada bajet untuk tambahan kawasan kira-kira sebulan lagi.

“Sasaran tumpuan lokasi adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas bagi melengkapi perbatuan pertama dan terakhir (first-and last mile) sistem pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mesyuarat bersama pihak berkepentingan berkaitan projek mitigasi banjir kilat di kawasan Puchong di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

EXCO pengangkutan Awam Ng Sze Han bersama Ketua Pegawai Eksekutif Badan Bas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi bergambar di hadapan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Menurut Sze Han, sambutan terhadap perkhidmatan DRT memberangsangkan sejak dilancarkan tahun lalu apabila menerima lebih 1,000 pengguna setiap bulan.

Mula diperkenal sejak 30 November tahun lalu, perkhidmatan DRT beroperasi di lapan lokasi terpilih yang berkepadatan tinggi dan mempunyai laluan sempit.

Kawasan terbabit adalah di Puchong, Subang Jaya, Ampang, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Hulu Kelang, Sungai Buloh dan Universiti Putra Malaysia (UPM)-Serdang.


Pengarang :