Lelaki Israel Avitan Shalom yang ditahan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Ampang didakwa atas pertuduhan senjata api di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 12 April 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tangkapan lelaki Israel: Tiga warga asing dihantar pulang ke negara asal

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Tiga lelaki warga asing dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang ditahan bersama enam pucuk pistol dan 158 butir peluru di sebuah hotel di sini 27 Mac lepas, selesai dihantar pulang ke negara asal.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata tindakan penghantaran ke negara asal itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi proses pemindahan imigran-imigran larangan berkenaan daripada Malaysia.

“Ketiga-tiga lelaki dipindah keluar dari negara ini untuk ke negara asal mereka Amerika Syarikat, Turkiye dan Georgia pada Isnin lepas dan semalam.

“Sementara itu tujuh warga tempatan yang ditahan dalam kes sama dibebaskan pada 10 Mei lepas,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun dibebaskan, ketujuh-tujuh mereka boleh ditahan semula sekiranya terdapat bukti baharu walaupun kes berkenaan telah ditutup.

“Kena faham bila bebas ini, jika ada perkembangan, saksi, keterangan baharu, kertas siasatan boleh dibuka bila-bila masa. Jangan ingat kalau dibebaskan dia lepas begitu sahaja,” katanya.

Pada 19 April lepas, sepuluh individu disyaki mempunyai kaitan dalam kes berkaitan lelaki Israel yang didakwa memiliki senjata api, ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu mengenai statistik jenayah indeks Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Rusdi berkata sebanyak 2,941 kes dicatatkan bagi tempoh 1 Jan hingga 30 April lepas dengan 550 kes daripadanya adalah Jenayah Kekerasan dan 2,391 kes adalah Jenayah Harta Benda.

“Selain itu, Jabatan Narkotik pula merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM12.1 juta dengan 7,529 orang ditahan atas pelbagai kategori kesalahan, sementara Jabatan Siasatan Jenayah Komersial membuka sebanyak 1,579 kertas siasatan dan 1,062 daripadanya telah dituduh.

“Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur pula bagi tempoh sama membuka 33,686 kertas siasatan dengan 29,128 daripadanya dituduh atau disaman sekali gus menunjukkan sebanyak 80.64% kes berjaya diselesaikan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :