Jemaah haji wanita kumpulan pertama melambaikan tangan sebelum berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah malam 8 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TH perkenal Ranting Hati tempat jemaah luah isi hati

MAKKAH, 20 MEI: “Tidak sihat, rasa penat, perlukan rehat” dan “Ku mohon pengampunan dosa-dosa yang silam, semoga kepulanganku mendapat haji yang mambur”, itu antara perkongsian perasaan jemaah haji yang diluahkan di sebatang pohon dinamakan ‘Ranting Hati’ yang ditempatkan di satu sudut di Hotel Abraj Janadriyah di sini.

Pohon yang diwujudkan hasil inisiatif Unit Kaunseling Lembaga Tabung Haji (TH) itu merupakan satu mekanisme yang pertama kali diperkenalkan di bawah kaedah terapi untuk jemaah haji meluahkan perasaan menerusi penulisan sepanjang menunaikan ibadat di Tanah Suci.

Kaunselor Mohd Najib Harun berkata sejak seminggu diperkenalkan kepada jemaah haji yang menginap di hotel itu, ia mendapat sambutan sangat menggalakkan kerana platform tersebut bukan sahaja menjadi tempat luahan perasaan tetapi juga tempat menyatakan kata-kata semangat kepada jemaah lain.

“Kadang kala sesetengah jemaah, dia tak nak pun kita meneroka dan sembang dengan dia lama-lama. Dia cuma perlukan pencetus untuk luahkan isi hati, itu sahaja. Secara teorinya apabila jemaah kerap meluahkan isi hati tentang apa yang membelenggu perasan hatinya…lebih tinggi kewarasannya.

“Apabila tinggi kewarasannya maksudnya tahap rasional tindakannya itu baik, maka dia akan berfungsi sebagai jemaah dengan baik dan dapat beri tumpuan kepada ibadah haji,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di sini.

Menurut Mohd Najib, setakat ini pihak kaunseling menggunakan pendekatan ziarah dari bilik ke bilik atau di kafeteria untuk memperkenalkan ‘Ranting Hati’ itu dengan membawa bersama ‘daun-daun’ bagi jemaah mencoret tentang perasaan mereka sebelum ia dilekatkan di pohon yang terdapat di bahagian luar unit berkenaan.

Penulisan itu katanya juga memberi kesan kepada jemaah lain kerana apabila luahan tersebut dibaca, jemaah akan merasakan diri tidak keseorangan dan orang lain turut berdepan masalah sama sekali gus membolehkan persamaan itu secara tidak langsung merendahkan tahap tekanan mereka.

Mengulas luahan yang sering dicoretkan jemaah, Mohd Najib berkata rata-rata berkisar tentang kesyukuran, kerisauan mengenai keadaan kesihatan dan kerinduan terhadap ahli keluarga yang berada di tanah air.

“Ada yang menulis ‘Alhamdulillah’, ‘terima kasih Allah’, ‘terima kasih mak ayah yang mendoakan’, itu antara tema-tema syukur dan ada juga yang bertemakan kekuatan seperti ‘Ya Allah berilah aku kekuatan’, ‘Ya Allah berikan aku atas hikmah kejadian ini’ dan ini menunjukkan jemaah kita positif dan sedang bergelut untuk positif,” katanya.

Pada masa sama katanya ‘Ranting Hati’ turut dijadikan sebagai medium mengumpul maklum balas tentang masalah yang dihadapi jemaah haji bagi membantu TH menilai perkhidmatan dan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Sementara itu seorang jemaah Siti Ruhana Kadir yang merupakan pesara guru berpendapat kaedah diperkenalkan Unit Kaunseling TH itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan dialami jemaah sepanjang proses mengerjakan ibadah haji.

“Kita patut berkongsi luahan hati kerana semasa mengerjakan ibadah haji ini memang banyak cabaran, jadi untuk atasinya kita perlu sentiasa tukar buah fikiran dan perasaan serta memberi nasihat berguna sesama kita,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Seorang lagi jemaah Siti Bidah Said berkata kaedah seperti itu memang baik untuk menyuntik semangat jemaah haji serta saling menjaga kesihatan masing-masing.

-BERNAMA


Pengarang :