Ahmad Zulkhairi Muhamad bersama kereta Perodua Myvi yang dimenangi ketika majlis penyerahan Perodua Myvi untuk pemenang cabutan bertuah Program Madani Rakyat 2024 (Zon Tengah) di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tuah hadir program Madani, pengurus kilang menang hadiah kereta

SHAH ALAM, 29 MEI: Pemenang hadiah utama cabutan bertuah Program Madani Rakyat 2024 di Kuala Selangor berhasrat menghadiahkan kereta yang dimenangi kepada isterinya.

Pengurus kilang, Ahmad Zulkhairi Muhamad,36, berkata beliau amat bersyukur dengan rezeki diraih pada Februari lalu itu kerana boleh menggantikan kereta isterinya Norsyafira Aisya Husain, 31, yang sudah berusia hampir 10 tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) menyerahkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Perodua Myvi kepada pemenang Ahmad Zulkhairi Muhamad ketika majlis penyerahan untuk Program Madani Rakyat 2024 (Zon Tengah) di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ahmad Zulkhairi berkata isterinya yang bekerja di Kuala Selangor terpaksa berulang alik kira-kira 100 kilometer dari kediaman mereka di Felda Sungai Tengi Kuala Kubu Bharu setiap hari.

“Dengan hadiah ini bolehlah isteri gunakan kereta ini kerana sekarang dia berulang alik dengan kereta yang sudah agak lama.

“Saya hanya imbas kod QR pada program itu, memang langsung tidak sangka nama saya akan naik ketika cabutan dibuat kerana seumur hidup belum pernah menang hadiah cabutan bertuah walaupun hadiah kecil,” katanya ketika ditemui.

Majlis penyerahan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah hari ini.

Katanya tujuan utama dia ke program berkenaan adalah untuk melihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara langsung namun langsung tidak menyangka dapat bersalaman dengan Anwar apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama.

“Bukan saja dapat bersalaman malah PM ada tanya soalan tanya saya asal dari mana. Memang betul-betul rezeki bukan hanya jumpa PM, tapi dapat pula ‘hadiah besar’,” katanya.

Program Madani Rakyat Zon Tengah yang berlangsung di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 hingga 25 Februari lalu diserikan dengan pelbagai acara menarik kepada pengunjung.

Program itu adalah kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang menjadi wadah masyarakat mendapatkan maklumat tentang 163 perkhidmatan kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan.


Pengarang :