Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain melakukan imbasan kod QR sambil disaksikan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir ketika majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) oleh KDEBWM di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC), Sepang pada 25 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

1.7 tan barangan dikutip di pusat kitar semula pandu lalu

SHAH ALAM, 11 JUN: Sebanyak 1.7 tan barangan berjaya dikutip menerusi Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ATDReC) di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC) dari April hingga pertengahan bulan lalu.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata bagi tempoh itu barangan kitar semula paling banyak dikutip adalah kertas dengan anggaran berat 671 kilogram.

“Sambutan daripada penduduk agak memuaskan dan ini dibuktikan menerusi pengumpulan barangan yang bertambah pada setiap kutipan sejak April,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut Ramli berkata susulan sambutan menggalakkan pihaknya kini sudah mengenalpasti kawasan sesuai di Kuala Selangor untuk memperluas inisiatif itu dan bekerjasama dengan penduduk setempat.

“Selain itu, sekiranya ada persatuan penduduk (berminat dengan kemudahan ini) dan memiliki kawasan atau tapak sesuai permohonan boleh dibuat dengan menghantar surat rasmi kepada kami.

“Kami akan membuat lawatan tapak dan mengadakan sesi perbincangan bagi meneliti kesesuaian permohonan selain tertakluk kepada bajet sedia ada,” katanya.

Sebelum ini Ramli berkata pihaknya dengan kerjasama Bumi Waste Management Sdn Bhd menyasarkan pembangunan ATDReC ke seluruh negeri secara berperingkat.

Antara barangan yang boleh dikitar semula menggunakan kemudahan itu adalah kertas campur, kertas hitam/putih, surat khabar lama dan wayar.

Selain itu, minyak masak terpakai, tin aluminium, bateri kenderaan, sisa elektronik campur, cakera padat dan kompresor.


Pengarang :