Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

22 maut di Gaza, pejabat palang merah diserang Israel

GENEVA, 22 JUN: Peluru berkaliber yang mendarat beberapa meter dari Pejabat Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa di Semenanjung Gaza pada Jumaat mengorbankan 22 nyawa yang berlindung di kemudahan itu, lapor Agensi Anadolu.

“Serangan itu merosakkan struktur pejabat ICRC yang dikelilingi oleh ratusan orang awam yang hilang tempat tinggal termasuk ramai rakan sekerja Palestin kami,” menurut ICRC dalam satu kenyataan.

Insiden itu menyebabkan hospital medan Palang Merah berhampiran menerima 22 mayat dan 45 cedera, dengan laporan terdapat lebih ramai mangsa.

“Serangan yang begitu hampir dengan struktur bangunan Palang Merah serta lokasinya diketahui oleh pihak bertelagah, meletakkan nyawa orang awam dan kakitangan Palang Merah dalam bahaya.

“Kejadian ini hanyalah satu daripada beberapa insiden yang terjadi beberapa hari kebelakangan ini, sebelum ini peluru sesat telah mengenai struktur ICRC.

“Kami mengecam insiden ini yang membahayakan nyawa manusia dan orang awam,” menurut ICRC.

Di bawah undang-undang antarabangsa, pihak yang terlibat dalam konflik mesti mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan serangan terhadap orang awam dan kerosakan kepada harta benda awam termasuk kemudahan kemanusiaan, menurut Palang Merah.

— BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :