Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara Dr Mohd Faizal Tokeran (kanan) dan Sekretariat Majlis TVET Negara Helmi Ab Hamid (dua, kanan) membawa media pada 5 Jun 2024 meninjau persiapan sempena sambutan Hari TVET Negara yang berlangung Jumaat dan Sabtu ini di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

3,000 peluang kerja, pameran teknologi antara menarik Hari TVET Negara 2024

BANTING, 6 JUN: Pameran, program dan aktiviti berasaskan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengisi sambutan Hari TVET Negara 2024 yang berlangsung dua hari bermula esok di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini.

Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara Dr Mohd Faizal Tokeran berkata sambutan itu dimeriahkan dengan pameran dan demonstrasi kemahiran oleh institusi TVET, pameran teknologi daripada pihak industri, aeroangkasa, kenderaan elektrik dan karnival kerjaya yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata sambutan yang dijangka menarik lebih 15,000 pengunjung itu menyajikan pelbagai aktiviti dan program dibahagikan kepada lima hab iaitu TVET Exhibition, TVET Seminar, TVET Job Fair, TVET Entrepreneur dan TVET Challenge.

“Dengan program dan aktiviti yang disediakan ini, orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai informasi berkaitan program, potensi serta laluan kerjaya lepasan bidang TVET untuk membantu mereka merancang masa depan pendidikan masing-masing.

“Lebih menarik, Hari TVET Negara ini juga melibatkan penyertaan 12 kementerian yang melaksanakan pendidikan TVET yang pastinya telah membuat persiapan rapi bagi memberikan pengalaman yang tidak seharusnya dilepaskan pengunjung,” katanya selepas meninjau persiapan sambutan Hari TVET Negara di ILP Kuala Langat semalam.

Dr Mohd Faizal berkata sambutan itu merupakan platform terbaik bagi orang ramai untuk mendapatkan gambaran sebenar pendidikan TVET yang sebelum ini dianggap sebagai pilihan kedua serta mengetahui usaha yang dilakukan kerajaan dalam mengangkat serta memperkasa bidang TVET.

Sehubungan itu beliau menyeru pengunjung untuk hadir beramai-ramai pada Jumaat dan Sabtu ini serta merebut peluang mendapatkan pelbagai maklumat berhubung peranan dan kejayaan bidang TVET dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2024 pada Sabtu seterusnya melancarkan Dasar TVET Negara 2030.

Dasar TVET Negara 2030 katanya dibangunkan sebagai dokumen yang akan menjadi rujukan serta memandu institusi TVET dalam menawarkan dan melaksanakan program berkualiti berdasarkan keperluan industri.

Menurutnya dasar itu bermatlamat membawa Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui pelaksanaan program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif.

Hari TVET Negara disambut 2 Jun dengan “TVET Pilihan Utama Kerjaya” dipilih sebagai tema sambutan tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :