Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika menyampaikan Khutbah Arafah pada Hari Wukuf di Makkah pada 15 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

74 jemaah haji Malaysia sedang dirawat dibawa wukuf guna bas khas

MAKKAH, 16 JUN: Seramai 74 jemaah haji yang sedang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji dan hospital di sini dibawa melakukan ibadah wukuf di Padang Arafah menerusi program Safari Wukuf semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kesemua pesakit dibawa dengan menggunakan bas khas yang telah diubah suai tempat duduknya menjadi seperti katil, untuk membawa pesakit kritikal ke Padang Arafah sebentar bagi menunaikan rukun haji kedua itu.

“Alhamdulilah program safari wukuf berjaya dilaksanakan… mereka dibawa sebentar untuk wukuf (selepas waktu Zuhur), tiba di sini (Padang Arafah) untuk jangka masa pendek.

“Semua jemaah ini kemudian akan segera dibawa kembali untuk rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Sebelum itu Mohd Na’im yang diiringi Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashdi Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Syed Hamadah Syed Othman turut menyantuni pesakit-pesakit yang sedang dirawat di klinik di khemah Padang Arafah.

Turut serta Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan pengurusan tertinggi TH.

Sementara itu Mohd Na’im turut meninjau pelaksanaan Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (PENEMAN) di Arafah, yang melibatkan 50 jemaah haji dalam keadaan uzur kerana umur, kesihatan dan emosi, dan ditemani petugas yang terpilih menerusi inisiatif itu.

“Seramai 50 jemaah haji yang uzur dipilih oleh satu jawatankuasa kaunseling dan setiap daripada mereka mempunyai peneman yang terdiri dalam kalangan petugas TH dengan berkonsepkan ‘one to one’.

“Jemaah haji mengucapkan terima kasih atas inisiatif itu dan merasakan kebajikan, keselamatan dan kesihatan mereka terjaga, membolehkan mereka dapat menumpukan kepada ibadah,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dalam segala urusan haji bagi musim 1445H/2024M ini yang telah cuba sehabis baik untuk memastikan semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat wukuf semalam.

– BERNAMA


Pengarang :