Polis berjaya mengesan suspek berusia 60 tahun berhampiran lokasi kejadian dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
AGENDAJENAYAH

Adik libas abang dengan parang hingga putus urat jari kiri

ALOR GAJAH, 7 JUN: Peniaga putus urat jari hingga menyebabkan tiga jari tangan kiri tidak dapat digerakkan selepas dilibas dengan parang oleh adik kandungnya dalam kejadian amuk di rumah mereka di Kampung Nelayan Kuala Linggi di Kuala Sungai Baru di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata lelaki berusia 33 tahun itu dilibas adik lelakinya berusia 22 tahun menggunakan parang berukuran 45.7 sentimeter dalam kejadian kira-kira 9 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik diserang suspek yang merupakan anak kedua, dipercayai tidak berpuas hati dengan abangnya kerana tidak membenarkannya menggunakan motosikal jenis Yamaha LC milik mangsa.

“Pada Rabu kira-kira 8.47 malam, mangsa yang tinggal serumah dengan suspek ke kaunter Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk membuat aduan dan meminta bantuan dirinya dipukul oleh adiknya dengan sebatang kayu dan terkena tangan kirinya selain suspek merosakkan bahagian hadapan motosikal milik mangsa.

“Mangsa kemudian pergi semula ke rumah mereka bersama tiga anggota polis dan empat anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) untuk membantu menahan suspek yang mengamuk dan bertindak agresif namun sebaik sahaja mangsa masuk ke dalam rumah, dia diserang dan dilibas dengan parang oleh suspek lalu terkena tangan kirinya,” katanya.

Beliau berkata suspek bagaimanapun berjaya ditahan anggota polis manakala mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

Menurut Ashari mangsa berada dalam keadaan stabil dan dalam pemantauan doktor manakala ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA


Pengarang :