AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Al-Quran, sunnah jadi pegangan, laksana perubahan ikut perintah Allah

SHAH ALAM, 17 JUN: Dato’ Menteri Besar mengajak umat Islam menghayati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang menyahut seruan dan arahan Allah SWT sempena menyambut Aidiladha.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kita sentiasa diuji dengan pelbagai rintangan.

“Al-Quran dan sunnah adalah pegangan kita di samping ketaatan serta istiqamah dalam melaksanakan perubahan berlandaskan perintah Allah SWT.

“Pengorbanan adalah asas prinsip dalam pengabdian diri kita pada Allah SWT. Semoga kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sentiasa menjadi inspirasi dan motivasi kepada kita untuk menjadi hamba Allah SWT yang lebih baik,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Amirudin yang kini menunaikan ibadah haji bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad menitipkan doa dari Arafah agar Selangor dan Malaysia dilimpahkan keamanan dan kemakmuran.

Amirudin turut mendoakan kesejahteraan dan keselamatan untuk seluruh rakyat Malaysia khususnya warga Selangor.

Beliau turut mendoakan perpaduan dan kesatuan dalam kalangan rakyat terus utuh bagi menempuh cabaran mendatang.


Pengarang :