Norrasyidah Arshad dan Abdul Rahim Sabri
SHAH ALAM, 1 JUN: Hampir 500 peserta menyertai program Himpunan Ilmuan Muda Timur Tengah yang dianjur sempena Festival Turath Islami Selangor (FITS) hari ini.
Berlangsung di Dewan Orkid, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, majlis merupakan inisiatif menemukan alumni pelajar Timur Tengah termasuk dari Indonesia dan Brunei dengan bekas mufti besar Mesir, Syeikh Dr Ali Juma’ah .
Ulama terkenal itu turut menyampaikan ceramah bertajuk ‘Peranan Hakiki Imuwan Timur Tengah dalam Konteks Semasa’ selain menjawab persoalan dikemukakan peserta.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapannya berkata program itu menjadi medan untuk bekas pelajar antaranya dari Universiti Al- Azhar serta sekitar Jordan dan Mesir bertemu Dr Ali.
“Hari ini masing-masing mahu bertanya dan berdialog dengan Dr Ali yang datang ke sini selama lapan hari. Ini peluang yang tak dapat dinikmari di negara lain.
“Malaysia menjadi destinasi pertama lawatan Dr Ali tahun ini. Ini beri peluang kepada alumni al-Azhar dan Mesir untuk berdialog dan bertanya soalan,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Amirudin turut menyerahkan tongkat kayu berkualiti tinggi kepada Dr Ali sebagai tanda kenangan.
FITS yang membuka tirai 26 Mei hingga hari ini mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam membabitkan penglibatan ulama tradisional serta ahli akademik.
Festival keilmuwan kali kedua terbabit menampilkan lebih 20 ulama terkenal, tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura melibatkan 12 acara utama.