Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Amerika hargai sokongan Malaysia dalam resolusi gencatan senjata

PUTRAJAYA, 12 JUN: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju gencatan senjata adalah penting supaya sebarang penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan secara berkesan, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini.

Persetujuan itu dicapai ketika pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di luar Persidangan Peringkat Tinggi: “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza” di Jordan.

Blinken juga menzahirkan sokongan Amerika Syarikat ke atas Kepusatan ASEAN dan penghargaan kepada Malaysia menyokong resolusi diusulkan Amerika Syarikat, yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Jun 2024.

Mohamad berada di Jordan mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan peringkat tinggi itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen King Hussein bin Talal, Laut Mati, Jordan, pada 11 Jun.

Persidangan Peringkat Tinggi ini dianjurkan oleh Jordan, Mesir dan (PBB) untuk menggembleng sokongan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Seramai 75 perwakilan terdiri daripada Ketua-Ketua Negara/ Kerajaan dan Menteri, Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa dan pihak berkepentingan menyertai persidangan itu.

Ketika persidangan itu, Mohamad mengalu-alukan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024), yang antara lain, menyeru untuk gencatan senjata segera, kekal dan berkesan, menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula Gaza.

Beliau juga menekankan agar semua pihak menyokong usaha ke arah mencapai penyelesaian damai dengan menangani punca utama konflik iaitu pendudukan haram dan kezaliman Israel; mensabitkan akauntabiliti melalui pendekatan “reparative” ke atas Israel dan memperkasakan usaha penyampaian bantuan kemanusiaan PBB.

– BERNAMA


Pengarang :