Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel berlindung di kem penempatan di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada 14 Februari 2024. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Anggota Mercy Malaysia selamat dibawa keluar dari Rafah

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Kementerian Luar (Wisma Putra) pada Sabtu mengesahkan enam anggota Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) Mercy Malaysia berjaya dibawa keluar dengan selamat dari Rafah, Gaza.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan enam anggota EMT dibawa keluar dari zon konflik secara berperingkat bersama dengan petugas antarabangsa lain.

“Sebahagian ahli EMT ini dibawa keluar masing-masing pada 23, 24 dan 28 Mei manakala kumpulan terakhir terdiri daripada dua ahli EMT dibawa keluar pada 31 Mei,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar merakamkan penghargaan kepada semua rakan antarabangsa yang memberikan kerjasama dan komitmen dalam memastikan keselamatan petugas warganegara Malaysia tersebut sehingga mereka berjaya dipindahkan keluar dari zon konflik.

Kenyataan itu menyatakan kementerian juga ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tidak melakukan perjalanan ke mana-mana zon konflik.

Ribuan rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan barat Rafah selepas tentera Israel meluaskan serangannya ke bandar itu pada Isnin lalu.

Ramai rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Tal al-Sultan, barat laut pusat bandar Rafah, kata sumber perubatan kepada Agensi Anadolu.

Menurut saksi, serangan itu menyebabkan kakitangan perubatan dan pesakit terperangkap di dalam klinik Tal al-Sultan dan hospital medan Indonesia di Rafah.

Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut gencatan senjata segera.

Sekurang-kurangnya 36,050 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, sebahagian besarnya adalah wanita dan kanak-kanak manakala lebih 81,000 yang lain cedera sejak Oktober lalu.

– BERNAMA


Pengarang :