Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi menyerahkan sumbangan kepada penyampai berita Astro Arena Akbar Sahari yang diuji dengan masalah kesihatan isterinya pada 11 Jun 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar sampaikan sumbangan kepada penyampai berita, doakan isteri diberi kekuatan

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada penyampai berita Astro Arena Akbar Sahari yang diuji dengan masalah kesihatan isterinya.

Sumbangan disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi Akbar dan isteri Noorsuzilawati Noor, yang menghidap kanser usus tahap empat di sebuah hospital di sini semalam.

“Saya doakan Akbar serta keluarga sabar menempuh dugaan selain isterinya diberi kekuatan untuk melawan penyakit ini, Insya-Allah,” kata Anwar dalam status dimuat naik di laman Facebook hari ini.

Perdana Menteri berharap sumbangan itu dapat membantu mengurangkan beban kos kewangan yang ditanggung Akbar.

Sementara itu Akbar menerusi status di akaun Facebook berterima kasih atas sumbangan itu dan mengakui terkejut dengan kehadiran rombongan dari pejabat Perdana Menteri (PMO) diketuai Ahmad Farhan.

Turut menziarahi ialah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Tunku Nashrul Tunku Abaidah dan Exco Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Hafizal Hamad serta Izhar Atan.

“Saudara Farhan menyampaikan sumbangan daripada Perdana Menteri sekali gus membantu meringankan beban kewangan kami. Doa serta kata-kata semangat daripada saudara Farhan dan rombongan PMO amat dihargai,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :