Anggota penguat kuasa ketika menjalankan operasi perobohan Kampung Sri Makmur, Gombak pada 27 Mei 2024. Foto Pentadbir Tanah Gombak
AGENDANASIONAL

Bancian setinggan asal dua kali, ada penduduk berpindah buat tuntutan

SHAH ALAM, 2 JUN: Bancian dua kali pada 2006 dan 2016 menjadi asas penawaran Rumah Selangorku kepada 21 keluarga setinggan asal Kampung Sri Makmur, Gombak, kata setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar.

Menjelaskan perkara itu A Rahim Ahmad Kasdi berkata mereka perlu mengemukakan dokumen pembuktian menetap di kawasan itu sejak sebelum 2006 dan terlibat dalam kedua-dua proses bancian.

Bancian pada 2006 dibuat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG) bagi penawaran rumah kos rendah di Selayang Mulia kepada penduduk.

“Sebahagian besar penduduk menerima tawaran Kerajaan Negeri berpindah ke rumah ditawarkan manakala selebihnya menolak tawaran dan memohon pampasan.

“Pada Julai 2006 MPS merobohkan unit rumah kosong dan bancian dilaksana 2016 bagi mengenal pasti penduduk setinggan asal menduduki kawasan itu sejak 2006 dan sebelumnya bagi membangunkan kawasan itu,” katanya dalam kenyataan.

Pentadbiran diterajui Dato’ Seri Amirudin Shari pada 2018 kemudian memutuskan membangunkan kawasan itu secara tersusun dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjual tanah itu kepada Rexpoint Resources Sdn Bhd pada September 2020.

Namun Kerajaan Negeri pada masa sama berikhtiar penduduk asal setinggan harus menikmati peluang memiliki rumah sendiri dan Amirudin mengarahkan MPS, PDTG dan PKNS menyemak semula senarai bancian kedua-dua tahun itu dan mengesahkannya.

“Ia bagi mengenal pasti penduduk setinggan asal dan mengelak mana-mana pihak mengambil kesempatan.

“Malangya ada mereka yang telah meninggalkan kawasan itu tetapi kini menuntut supaya diberikan pampasan yang sama seperti penduduk setinggan asal,” katanya.

A Rahim sebelum ini memaklumkan 21 keluarga setinggan asal Kampung Sri Makmur ditawarkan rumah mampu milik pada harga subsidi RM65,000.

Menjelaskan Rumah Selangorku Seri Temenggung itu berkeluasan 750 kaki persegi, A Rahim Ahmad Kasdi memberitahu penduduk berkenaan juga menerima bayaran kos pemindahan rumah RM1,000.

Katanya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mengeluarkan surat tawaran pada 21 Mei kepada penerima yang disahkan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak hasil bancian 2006 dan 2016.


Pengarang :