PBTSELANGOR

Bantah kadar baharu cukai, MBSA adakan sesi pendengaran 5 Ogos

SHAH ALAM, 19 JUN: Sesi pendengaran berhubung bantahan kadar baharu cukai taksiran bersama pemilik hartanah bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dijadual pada 5 Ogos.

Menerima 5,669 bantahan sehingga tarikh akhir 14 Jun, sesi tersebut akan diadakan secara bersemuka sebelum keputusan lanjut diambil, kata Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

“Setelah keputusan mengenainya dibuat, MBSA akan memaklumkan keputusan berkenaan kepada pembantah melalui surat dalam tempoh 14 hari,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau menambah senarai nilaian yang disemak akan dibentangkan semula kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk pengesahan sebelum dikuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim bercakap ketika sidang media selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-12 di Dewan Perbandaran, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 6 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebelum ini, MBSA memaklumkan pemilik hartanah di kawasan pentadbirannya akan mula membayar cukai taksiran pada kadar baharu mulai Januari tahun depan.

Menjelaskan tidak naik selama 19 tahun, kadar kurang 25 peratus daripada cukai lama melibatkan semua kategori harta iaitu kediaman, perdagangan,perindustrian dan tanah kosong (pertanian).

Rumah ibadat, sekolah dan premis awam yang bukan bermotif keuntungan pula menerima pengecualian.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan kenaikan meski menerima notis itu, beliau berkata semakan tersebut bertujuan mengetahui nilai dan mutu perbandaran sesebuah kawasan.

Katanya, pentadbiran negeri juga akan meneliti pelbagai faktor sebelum memberi kebenaran kepada PBT untuk membuat kenaikan ataupun sebaliknya.


Pengarang :