PBTSELANGOR

Bantahan kadar baharu cukai taksiran MBSA boleh dibuat hingga 14 Jun

SHAH ALAM, 11 JUN: Berbaki tiga hari lagi, orang ramai boleh mengemukakan bantahan kadar baharu cukai taksiran kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebelum tempoh akhir pada 14 Jun.

Menjelaskan kadar baharu tidak melebihi 25 peratus, datuk bandarnya berkata penilaian semula dibuat selepas 18 tahun untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat terus efisien.

Menurut Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim, pihaknya juga sedia bertemu pemilik harta yang membantah kadar baharu itu dalam sesi pendengaran khas yang akan diadakan selepas tempoh bantahan.

“Ada tidak bersetuju dengan kenaikan cukai taksiran tetapi sebenarnya MBSA memerlukan kewangan kukuh dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita memerlukannya (cukai). Kenaikan tidak melebihi 25 peratus daripada cukai lama tetapi kita terima bantahan dan akan panggil pemilik hartanah untuk sesi pendengaran,” katanya.

Bermula 9 Mei hingga 6 Jun, MBSA menerima 1,990 bantahan daripada pemilik harta berhubung kadar baharu cukai tersebut yang dikuat kuasa mulai Januari tahun depan.

Kadar itu melibatkan kediaman, perdagangan, perindustrian dan tanah kosong (pertanian), manakala rumah ibadat, sekolah dan premis awam yang bukan bermotif keuntungan menerima pengecualian.

 


Pengarang :