Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan bas ekspres melanggar pembahagi jalan selepas Plaza Tol Jalan Duta menghala ke Kuala Lumpur pada 12 Jun 2024. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDANASIONAL

Bas ekspres langgar pembahagi jalan di Jalan Duta, tujuh cedera

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Tujuh penumpang termasuk pemandu cedera ringan apabila bas ekspres terbabas lalu melanggar pembahagi jalan selepas Plaza Tol Jalan Duta menghala ke Kuala Lumpur di sini awal pagi tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohammad Yusri Aziz berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian melibatkan bas menghala ke Kuala Lumpur itu pada 6.17 pagi.

Beliau berkata seramai empat anggota bersama sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Menjalara digerakkan ke lokasi sejurus panggilan diterima.

“Semua mangsa yang berada di dalam bas berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

-BERNAMA


Pengarang :