Keadaan wad pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur selepas penurunan kes tahap 4 dan 5 yang memerlukan bantuan pernafasan pada 15 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bihun goreng, telur mata dipercayai punca keracunan makanan, 82 individu bergejala

SHAH ALAM, 11 JUN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedang menjalankan siasatan bagi mengesan kes baharu berhubung kejadian keracunan makanan pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak melibatkan 30 sekolah rendah pada 8 Jun lalu.

Pengarah JKNS Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata mana-mana individu terbabit atau berkaitan dengan kejadian itu yang mengalami gejala diminta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini.

“JKNS mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu yang telah menyebabkan dua kematian daripada 247 individu yang terdedah dengan 82 individu dilaporkan mempunyai gejala.

“Antara individu yang terlibat ialah urus setia, guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga berumur di antara setahun tujuh bulan hingga 58 tahun dengan gejala utama yang dilaporkan ialah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Umi Kalthom berkata bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa yang dibekalkan kepada guru dan urusetia program oleh pengendali makanan dari luar disyaki menjadi punca kepada keracunan makanan.

Menurut beliau 28 individu mendapatkan rawatan pesakit luar dan tiada kes dimasukkan ke wad.

Dr Umi Kalthom berkata sampel makanan pada hari kejadian diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.

Beliau turut menasihatkan penganjur program dan orang awam agar berhati-hati dalam memilih premis dan pembekal makanan yang bersih sementara pengendali makanan pula perlu sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan serta minuman bagi mengelakkan kejadian penyakit atau wabak keracunan makanan.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima dua laporan kes kematian melibatkan seorang remaja lelaki berusaha 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun, disyaki akibat keracunan makanan yang diambil daripada sebuah sekolah agama di Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata remaja itu telah menjamah makanan yang dibawa balik ibunya selepas menghadiri program keagamaan di sekolah berkenaan Sabtu lalu.

Mangsa kedua pula memakan makanan yang dibawa bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut pada Sabtu dan didapati demam, muntah-muntah serta cirit-birit sekitar 10.45 pagi semalam.

– BERNAMA


Pengarang :