BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Bintang tumpuan Euro 2024, ‘kuda tua’ bertembung pemain muda

Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) anjuran Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bermula pada 1960 dengan Perancis menjadi tuan rumah.

Berlangsung setiap empat tahun, Euro pertama disertai empat negara yang menyaksikan Kesatuan Soviet (kini Rusia) muncul juara.

Dalam tempoh 64 tahun, 11 negara Eropah pernah meraih trofi Euro dengan Jerman dan Sepanyol paling banyak memenanginya iaitu masing-masing tiga kali.

Pada edisi ke-17 yang berlangsung antara 14 Jun hingga 14 Julai, sebanyak 24 negara berentap di bumi Jerman selaku tuan rumah.

Ia pentas pemain mempamer aksi berkelas dunia. Wartawan NAZLI IBRAHIM memilih 9 bintang bola sepak tumpuan pada Euro tahun ini berdasarkan pencapaian, bakat dan reputasi di padang.

CRISTIANO RONALDO Portugal
Posisi: sayap dan penyerang

BINTANG paling mencuri tumpuan semestinya kapten Portugal Cristiano Ronaldo yang memulakan kempen Euro 2024 menerusi penampilan kali keenam kejohanan.

Pemenang anugerah Ballon d’Or lima kali berusia 39 tahun itu mengungguli carta penjaring terbanyak sepanjang zaman Euro dengan 14 gol.

Peminat, khususnya penyokong Portugal mengharapkan pemain kelab Arab Saudi, Al-Nassr itu mengulangi kehebatannya dan menghadiahkan kejuaraan Eropah seperti di Perancis pada 2016.

LUKA MODRIC Croatia
Posisi: perancang tengah

Seorang lagi ‘kuda tua’ yang mencuri tumpuan ialah kapten Croatia Luka Modric. Beliau terkenal dengan hantaran tepat dan kreatif merencana serangan.

Berusia 38 tahun, pemain Real Madrid itu tampil dalam lima kejohanan Piala Eropah, menyamai rekod pertahanan Portugal, Pepe.

Pencapaian terbaik beliau, selain pemenang anugerah Ballon d’Or 2018, ialah memenangi anugerah Bola Emas ketika membantu Vatreni menjadi naib juara Piala Dunia 2018.

KYLIAN MBAPPE Perancis
Posisi: penyerang

Kali pertama tampil dalam Euro 2020, bekas bintang Paris Saint-Germain berumur 25 tahun hadir dengan reputasi besar sebagai mesin gol buat skuad The Blues pada Euro 2024.

Peminat masih mengingati persembahan luar biasanya semasa kempen Piala Dunia 2022 di Qatar yang membawa Perancis ke pentas akhir sebelum tewas kepada Argentina.

Berada pada puncak prestasi ketika ini, larian pantas dan penyudah tajam Mbappe dijangka menjadikan jentera serangan Perancis ampuh merobek gawang lawan.

JAMAL MUSIALA Jerman
Posisi: tengah menyerang

Pemain Bayern Munich ini sudah mewakili Die Nationalmannschaft itu sebanyak 30 kali sejak berumur 18 tahun. Tiga gol sudah dihadiahkan sepanjang karier dengan Jerman.

Namanya menjadi sebutan peminat bola sepak Eropah sejak berumur 16 tahun. Malah, legenda Jerman Lothar Matthaus dalam satu temu bual menganggap gelecekan Musiala seakan-akan bintang bola sepak Argentina Lionel Messi.

Penampilan pertama dalam Euro 2024 ditunggu-tunggu khususnya penyokong Jerman yang ingin melihat kehebatannya mengawal bola dalam ruang sempit dan melepasi pertahanan lawan, seperti ketika bermain untuk Bayern Munich.

JUDE BELLINGHAM England
Posisi: tengah menyerang

Pemain England itu dianggap wira buat penyokong Real Madrid ketika ini dan antara komoditi bola sepak paling ‘panas’ dalam pasaran.

Ketika kempen 2023/2024, beliau menjaringkan 18 gol, sekali gus membantu kelabnya menang La Liga Sepanyol dan menjuarai trofi Liga Juara-Juara Eropah ke-15.

Selain statistik perlawanan hebat, Bellingham memukau peminat bola sepak dengan mentaliti mahu menang dan kualiti kepemimpinan atas padang.

ARDA GULER Turkiye
Posisi: sayap dan tengah menyerang

Pemain berusia 19 tahun ini membuat penampilan kali pertama pada Euro 2024. Baru menamatkan musim bersama Real Madrid dengan gelaran Liga Juara-Juara Eropah, Guler kian menjadi tumpuan peminat bola sepak.

Sebelum mengikat kontrak dengan Real Madrid, beliau cemerlang bersama kelab Turkiye, Fenerbache antara 2021 hingga 2023 menerusi 32 penampilan.

Bijak mengawal bola dalam ruang sempit antara pemain lawan, jurulatih dan bekas pemain kebangsaan Itali Carlo Ancelotti menganggap Guler bakal pemain elit dunia.

LAMINE YAMAL Sepanyol
Posisi: sayap kanan

Muncul pemain termuda kejohanan, Lamine Yamal yang berusia 16 tahun dan 338 hari mengatasi rekod pemain termuda Euro dipegang pemain Poland, Kacper Kozlowski pada edisi 2020 ketika usia 17 tahun dan 246 hari.

Penampilan kali pertama pemain Barcelona dalam Euro 2024, dinanti-nantikan pemerhati bola sepak, lantaran beliau dianggap generasi pelapis La Roja.

Kepantasan, kelincahan menggelecek dan penyudah tajam yang dipamer semasa bermain untuk Barcelona mengundang resah lawan dalam Euro tahun ini.

XAVI SIMMONS Belanda
Posisi: tengah menyerang

Simmons lahir hasil latihan di Akademi La Masia Barcelona. Beliau mengadaptasi corak permainan ‘Total Football’ – taktik yang cukup sinonim dengan bola sepak Belanda.

Pemain berumur 21 tahun itu boleh bermain pelbagai posisi atas padang selain kedudukan semula jadi sebagai pemain tengah.

Bijak memaksimumkan penguasaan bola dan mencipta peluang, pemain RB Leipzig dipilih jurulatih Oranje, Ronald Koeman untuk beraksi kali pertama pada Piala Eropah edisi ke-17.

JOHAN BAKAYOKO Belgium
Posisi: sayap kanan

Cemerlang bermain untuk kelab Belanda, PSV Eindhoven, Bakayoko mencatat rekod 12 gol dan sembilan bantuan gol dalam liga Belanda, Eredivisie musim 2023/24.

Mahir mengawal permainan, kelebihan pemain kaki kiri itu menjadikan beliau sasaran perpindahan oleh kelab-kelab bola sepak ternama Eropah.

Tampil pertama kali pada Euro tahun ini bersama De Rode Duivels, persembahan pemain berumur 20 tahun itu memukau peminat dengan kelincahannya menggelecek bola dan memperdaya lawan selain hantaran tepat yang mampu menghasilkan jaringan.


Pengarang :