Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail (tengah) bersama tembakau kunyah bernilai lebih RM409,000 pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 13 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Cubaan seludup lebih 5,000 kilogram tembakau kunyah gagal, empat lelaki ditahan

SEPANG, 13 JUN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Unit III (LTAKL) Zon Tengah menggagalkan cubaan menyeludup masuk tembakau kunyah kira-kira 5,000 kilogram (kg) melibatkan nilai duti lebih RM409,000 dalam tiga kes, antara Mei hingga awal Jun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata dua kes berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan satu lagi kes di kawasan Zon Perdagangan Bebas (FCZ) KLIA.

Tembakau kunyah merupakan barang larangan yang disenaraikan dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, Item 66, Jadual 2, Butiran 3.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata pada 29 Mei lalu, Bahagian Penguatkuasaan Unit III (LTAKL) Zon Tengah menahan dan menyita 2,700 kg dagangan tembakau kunyah yang cuba diimport tanpa permit import sah di FCZ KLIA.

“Modus operandi adalah dengan mengisytiharkan dagangan sebagai ‘console cargo’ dengan nama pengimport palsu. Selepas dagangan ditahan, tidak ada mana-mana pihak atau ejen mahupun pengimport hadir bagi menuntut dagangan tersebut dan mengemukakan dokumen pengimportannya,” katanya.

Bagi kes kedua pada 3 Jun lalu di Terminal 1 KLIA, Norlela berkata dua lelaki bukan warganegara yang tiba dari sebuah negara Asia Selatan, masing-masing berumur 23 dan 25 tahun, ditahan kerana menyeludup 57.9 kg tembakau kunyah.

Beliau berkata tembakau itu diletakkan dalam dua bagasi yang dibawa secara daftar masuk namun suspek gagal mengemukakan permit sah dan mereka disyaki datang secara berkumpulan.

“Ini adalah berdasarkan kepada penemuan 88 bagasi lain yang ditinggalkan di karusel bagasi setelah dua lelaki tersebut ditahan.

“Hasil semakan mendapati kesemua bagasi tiba dalam penerbangan sama seperti mereka dan dipercayai ahli sindiket lain sengaja meninggalkan 88 bagasi tersebut setelah kegiatan mereka terbongkar,” katanya sambil menambah pihaknya menemukan tembakau kunyah seberat 2,250 kg dalam kumpulan bagasi tersebut.

Sementara itu dalam kes ketiga pada 7 Jun lalu, beliau berkata dua lelaki bukan warganegara yang tiba dari sebuah negara Asia Selatan masing-masing berusia 33 dan 55 tahun ditahan akibat kesalahan sama dengan 60 kg tembakau kunyah disita.

Menurut Norlela, mereka didapati sering memasuki Malaysia dan berada dalam negara untuk tempoh singkat malah mempunyai tiket penerbangan ke negara asal pada 14 Jun.

Kes di FCZ KLIA katanya disiasat di bawah Peraturan 30 (1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991 manakala dua kes di Terminal 1 KLIA disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (f) Akta Kastam 1967.

– BERNAMA


Pengarang :