Mercu tanda di Pusat Perniagaan Banting, Kuala Langat. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat
PBTSELANGOR

Cukai taksiran: MPKL terima lebih 1,600 bantahan, sesi pendengaran 16 Julai

SHAH ALAM, 20 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerima 1,628 bantahan berhubung kadar cukai taksiran baharu setakat semalam.

Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Hartanya Lisawati Abd Karim memaklumkan pemilik hartanah jenis kediaman paling ramai membuat bantahan.

“MPKL telah menghantar notis semakan kadar cukai taksiran kepada 106,093 pemilik hartanah dan buat masa ini menerima 1,628 bantahan sehingga semalam.

“Proses bantahan masih lagi dibuka dan pemilik hartanah boleh membuatnya di kaunter atau secara dalam talian sehingga 25 Jun depan,” katanya dihubungi.

Lisawati turut memaklumkan MPKL akan mengadakan sesi pendengaran bantahan secara berperingkat selama sebulan mulai 16 Julai hingga 19 Ogos.

“Kita akan panggil pemilik hartanah secara berperingkat mengikut kawasan masing-masing bagi memberi peluang kepada mereka menyuarakan bantahan.

“Setelah selesai sesi pendengaran, perkara ini akan dibawa ke jawatankuasa bantahan sebelum diputuskan Kerajaan Negeri pada September nanti untuk nilaian baharu dikuat kuasa mulai 1 Januari 2025,,” katanya.

Bantahan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR, e-mel kepada [email protected] atau muat turun borang bantahan di pautan ini.

Borang bantahan juga boleh diserahkan terus kepada Jabatan Penilaian menerusi talian hotline 012-300 4155.

Untuk rekod, MPKL tidak membuat semakan kadar cukai taksiran membabitkan tanah kosong, perumahan, kilang dan perniagaan selama 37 tahun sejak 1987.

Selain MPKL, tujuh PBT lain juga tidak membuat semakan kadar cukai antara 20 hingga 40 tahun lalu seperti Majlis Perbandaran Kajang paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985 sertaMajlis Perbandaran Selayang (MPS) selama 32 tahun sejak 1992.

Bagi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), pihak berkuasa tempatan itu tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1986.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.


Pengarang :