Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (tiga, kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 11 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dadah lebih RM4 juta dirampas, lima lelaki tempatan ditahan

SHAH ALAM, 11 JUN: Polis Selangor menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah di sekitar Klang Selatan dan Subang Jaya membabitkan penahanan lima lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah berjumlah lebih RM4 juta, minggu lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam kes pertama, polis menahan lelaki tempatan berusia 30 tahun di sebuah kediaman di kawasan Klang Selatan kira-kira 5 petang, 5 Jun lalu.

Beliau berkata penahanan itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah seperti ekstasi, pil eramin 5, ketamine, syabu dan heroin dengan berat keseluruhan 36,409 gram bernilai RM4.12 juta dalam sebuah kenderaan utiliti sukan di kawasan rumah itu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah manakala dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Dalam serbuan melibatkan sindiket berbeza, Hussein berkata empat lelaki tempatan berusia 30 hingga 50 tahun ditahan di dua lokasi di Subang Jaya dan Rawang antara 1.50 hingga 2.10 petang pada 6 Jun lalu.

Beliau berkata penahanan itu membawa kepada rampasan 20 bungkusan dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 20,842 gram bernilai lebih RM600,000 yang dijumpai di dalam satu beg kanvas di tempat letak kenderaan di sebuah pusat beli-belah sekitar Subang Jaya.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Menurutnya kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :