Peserta membuat pemeriksaan kesihatan menerusi program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Heritier, Shah Alam pada 21 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Daftar di SELangkah, peluang sertai saringan kesihatan percuma di tiga DUN

SHAH ALAM, 15 JUN: Orang ramai berpeluang menjalani saringan kesihatan secara percuma di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) pertengahan bulan ini.

Menurut EXCO kesihatan, program anjuran Kerajaan Negeri itu menawarkan saringan kesihatan seperti mata, telinga, gigi, jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan barah.

“Anda digalak membuat prapendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kerana penilaian faktor risiko setiap individu melalui borang saringan awal di aplikasi tersebut.

“Hubungi Selcare di talian 1-800-226-600 jika mengalami sebarang masalah berkaitan pendaftaran,” kata Jamaliah Jamaluddin di Facebook.

Bermula 9 pagi hingga 3 petang, program Selangor Saring DUN Bukit Melawati dijadual berlangsung di Dewan MPKS Bandar Baru Kuala Selangor pada 22 Jun.

Program sama diteruskan di Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Gombak Setia pada 29 Jun dan di Dewan Sri Jugra bagi DUN Banting sehari selepas itu.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.

Program diperkenal bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :