Pemain Harimau Malaya mempamerkan jersi Faisal Halim sebagai tanda solidariti pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun 2024. BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Daki tiga anak tangga, Harimau Malaya kini duduki tempat 135 dunia

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Skuad Harimau Malaya melonjak tiga anak tangga untuk menduduki tempat ke-135 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.

Pasukan kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan Gon memperoleh tambahan 13.04 mata untuk mengumpul keseluruhan 1,107.58 mata, sekali gus meningkat daripada posisi ke-138 dunia yang dihuni sejak 4 April lepas.

Peningkatan terkini itu dicapai susulan pencapaian Malaysia dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan masing-masing seri 1-1 dengan Kyrgyzstan dan mengatasi Taiwan 3-1, awal bulan ini.

Sementara itu, Thailand melangkah ke dalam kelompok 100 terbaik dunia selepas beralih satu langkah daripada kedudukan ke-101, diikuti Vietnam yang turun satu anak tangga kepada 118 manakala Indonesia kekal di tempat ke-134 untuk berada dalam kalangan tiga pasukan terbaik Asia Tenggara.

Juara Piala Dunia 2022, Argentina, Perancis dan Belgium mengekalkan kedudukan tiga teratas manakala Brazil memintas England untuk tempat keempat.

– BERNAMA


Pengarang :