Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumum sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 12 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Joohari Ariffin calon Kerajaan Perpaduan PRK Sungai Bakap

NIBONG TEBAL, 12 JUN: Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, 60, dari PKR diumum sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, pada 6 Julai ini.

Pengumuman dibuat Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, pada majlis pengumuman calon Perpaduan di Simpang Ampat,di sini malam ini.

Rafizi ketika membuat pengumuman tersebut berkata calon berkenaan memenuhi tiga kriteria utama.

“Calon yang kita tampilkan kena dengan kehendak kita, pertama anak tempatan supaya boleh jaga orang tempatan di sini (Sungai Bakap).

“Kedua kita nak orang cerdik pandai, ketiga dia bertanggungjawab mendidik rakyat,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow, Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang Nurul Izzah Anwar.

Selain itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek serta barisan pimpinan negeri yang lain.

Rafizi berkata Joohari, anak jati Sungai Bakap merupakan bekas guru dan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan dari Universiti sains Malaysia (USM).

Bermula 4 April 2018, beliau dilantik sebagai Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara dan menamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam pada 1 Sept 2023.

Joohari juga dianugerahkan Pemimpin Berinspirasi daripada Jemaah Nazir Negeri Kedah pada 2023.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

— BERNAMA


Pengarang :