Dua beradik Sabiluzzuhdi Zahari (kanan) dan Syamil tertarik dengan Buku 40 Hads Imam Nawawi ketika mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua beradik naik bas dari Kedah ke festival turath, pesta buku

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Dua beradik sanggup menaiki bas dari Kedah untuk berkunjung ke program anjuran Kerajaan Negeri, Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sabiluzzuhdi Zahari, 22, berkata beliau dan adiknya, Syamil Zahari, 20, tiba Khamis lalu kerana mahu melihat secara dekat ketokohan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah selain mahu mengambil berkat.

Sabiluzzuhdi Zahari

“Pada mulanya tiada dalam perancangan pun untuk ke sini, ia berlaku secara kebetulan. Jadi, kami mengambil peluang gunakan masa yang ada untuk ke majlis ilmu dan alang-alang ke sini kami turut berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

“Kami juga membeli beberapa buah buku antaranya Hadis 40 Imam Nawawi yang dikupaskan Dr Ali Jum’ah. Buku-buku yang dibeli ini juga sebagai bekalan sambung belajar di Damsyik September nanti,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Nurul Khairiah Kahar

Seorang guru, Nurul Khairiah Kahar, 43, datang bersama rombongan sekolah sebanyak dua bas dari Negeri Sembilan bagi membuat lawatan sambil belajar ke pesta buku tersebut.

“Bukan kali pertama sebenarnya, sudah banyak kali sekolah kami buat rombongan setiap kali adanya pesta buku. Bagus inisiatif ini kerana kita dapat cari buku pelbagai genre di satu lubuk sahaja,” katanya.

Manakala kakitangan swasta, Hanna Zahirah Zulmuthi, 24, berkata beliau lebih meminati buku berunsur sejarah Malaysia dan kehidupan haiwan meski bidang itu jauh daripada yang dipelajarinya di universiti sebelum ini.

Hanna Zahirah Zulmuthi

“Sebelum ini menuntut dalam jurusan biologi marin di Amerika Syarikat dan sekarang bekerja di syarikat solar. Kalau ikutkan buku saya cari hari ini tiada kena mengena dengan skop bidang tetapi ia disebabkan minat.

“Suka ada pesta buku seperti ini kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding di pasaran dan kebanyakan reruai ada menyediakan tawaran dan baucar sekiranya beli banyak buku,” katanya.

Halimatus Sa’adiah Ariffin

Seorang penjawat awam Halimatus Sa’adiah Ariffin, 43, yang bersama suami dari Kajang mengambil peluang membawa dua anaknya memanfaatkan masa ke pesta buku ketika cuti sekolah ini.

“Kebetulan kami sekeluarga minat membaca, masing-masing ada genre buku tersendiri. Memang setiap kali adanya pesta buku kami akan pergi kerana dari sini kita boleh memupuk minat anak untuk membaca,” katanya.

PBAKL edisi 2024 berlangsung 24 Mei hingga 2 Jun yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menawarkan 969 reruai dan ruang pameran dari penerbit buku tempatan dan luar negara.

 


Pengarang :