AGENDANASIONAL

Dua maut, seorang parah kemalangan di Jalan Skudai

JOHOR BAHRU, 15 JUN: Dua maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 3.5 Jalan Skudai, Pantai Lido di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kejadian berlaku pada pukul 4 pagi dan mangsa maut merupakan seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha dan seorang wanita penumpang kereta Perodua Myvi dengan kedua-duanya berusia lingkungan 40an.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal yang datang dari arah Skudai ke pusat bandar hilang kawalan dan terbabas.

“Kereta tersebut yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak motosikal, lalu terlanggar mangsa.

“Akibat daripada pelanggaran itu, kereta berkenaan terbabas dan melanggar penghadang jalan lalu berpusing dan terbalik, manakala motosikal tersebut terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Raub kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala pemandu kereta cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA


Pengarang :