Foto Grafik Media Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekosistem semikonduktor lengkap, bakal lahir tenaga kerja mahir

SHAH ALAM, 22 JUN: Sektor semikonduktor di negeri ini akan dilengkapi ekosistem menyeluruh sekali gus mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan memenuhi pasaran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penumpuan aspek itu penting kerana sektor terbabit bakal memberi hasil pulangan dan pelaburan tinggi.

“Bidang ini juga menjamin masa depan berikutan penggunaan meluas merangkumi kecerdasan buatan (AI) dalam teknologi.

“Kerjasama serta pelaburan Siemens, Festo, Google dan pelbagai lagi pasti merancakkan pembangunan bakat bertaraf global,” katanya menerusi Facebook.

Pada April, Selangor menandatangani memorandum persefahaman dengan empat syarikat termasuk ARM Ltd yang berpusat di United Kingdom, Shenzhen Semiconductor Industry Association (China).

Ia bagi membangunkan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor di Puchong yang turut melibatkan kerjasama Phison Malaysia dan SkyeChip.

Bakal dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor mulai Jun, pusat itu mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion selain bakal membuka peluang kerjaya dengan tawaran gaji mencecah RM7,000.

 


Pengarang :