Empat lelaki yang memakai topeng merompak kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Kajang pada 17 Jun 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Empat lelaki bertopeng rompak kedai emas guna pistol, senapang

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Empat lelaki diburu polis selepas terlibat dalam kejadian samun menggunakan senjata api membabitkan sebuah kedai emas di pusat beli-belah di Kajang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohamad Nasir Drahman berkata siasatan awal mendapati suspek yang memakai topeng dan berpakaian seperti pengawal keselamatan serta bersarung tangan masuk ke premis itu yang terletak di tingkat satu pada 3.17 petang.

“Suspek bertindak memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sebelum mengambil barang kemas.

“Suspek turut dipercayai membawa dua pucuk pistol serta selaras senapang dan semasa kejadian, suspek melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata jumlah kerugian masih disiasat dan pihaknya sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup selain mengambil keterangan saksi untuk siasatan di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat).

Mohamad Nasir juga berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat iaitu ASP Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-244 6768.

– BERNAMA


Pengarang :