EXCO Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti, V Papparaidu bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop menyerahkan kunci rumah kepada Senah Ni pada program penyerahan kunci bina baru rumah Orang Asli Hulu Selangor 2024 di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Baharu dan Kampung Orang Asli Gurney, Batang Kali pada 23 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

EXCO: Kerajaan Negeri peruntuk RM1 juta bina rumah Orang Asli

HULU SELANGOR, 23 JUN: Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi pembinaan rumah baharu Orang Asli di empat daerah di Selangor, tahun ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata daripada jumlah itu 13 rumah dibina di daerah Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

Menurutnya, inisiatif itu turut mendapat kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI setiap tahun dengan peruntukan sama menumpukan hala tuju untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan Orang Asli.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti, V Papparaidu dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Saipolyazan M Yusop beramah mesra bersama Senah Ni selepas menyerahkan kunci rumah pada program penyerahan kunci bina baru rumah Orang Asli Hulu Selangor 2024 di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Baharu dan Kampung Orang Asli Gurney, Batang Kali pada 23 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Enam daripada 13 rumah sudah diserahkan kepada pemilik manakala bakinya masih dalam proses pembinaan dan kita akan serah kunci hujung tahun ini.

“Tujuan kita membina rumah penduduk Orang Asli ini bagi menjamin bahawa mereka juga boleh memiliki kediaman selamat dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Bagi Program Bina Baru Rumah Orang Asli di Kampung Orang Asli Pertak di sini hari ini.

Papparaidu berkata rumah berkenaan memiliki dua kategori iaitu dua bilik dan dua bilik air serta tiga bilik dan dua bilik air dengan anggaran harga bermula RM55,000 hingga RM85,000.

“Jumlahnya berbeza kerana mengambil kira beberapa aspek seperti akses ke rumah yang jalannya agak berliku jauh ke dalam hutan yang membabitkan kos tinggi.

“Bagaimanapun, program ini tidak terhenti setakat ini sahaja sebaliknya kita akan terus membantu bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak terpinggir dengan arus pemodenan dan sentiasa disantuni,” katanya.

Rumah Orang Asli yang siap dibina melalui program bina baru rumah Orang Asli Hulu Selangor 2024 di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Baharu dan Kampung Orang Asli Gurney, Batang Kali pada 23 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :