Pemain Selangor FC Faisal Halim bercakap dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAPILIHAN MINGGUANSUKANKINI

Faisal hampir putus asa, mahu kembali ke padang lepas diberi semangat

SHAH ALAM, 13 JUN: Pemain kebangsaan Faisal Halim mengakui hampir berputus asa dan mahu melupakan bola sepak selepas kejadian simbahan asid yang menimpa dirinya Mei lalu.

Bagaimanapun, Faisal berkata Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar ingin beliau terus bersemangat selain menjamin keselamatan dirinya juga keluarga.

“Saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu dan berhenti bermain bola asalkan saya dan keluarga selamat.

“Tetapi Datuk (Shahril) beri semangat dan janjikan kepada saya, ‘Mickey saya yakin awak mampu teruskan dan saya jamin keselamatan awak dan keluarga.’

Pemain Selangor FC Faisal Halim sebak ketika bercakap dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pada waktu itulah saya kembali bersemangat dan mahu teruskan bermain bola,” katanya sebak pada sidang media di Pusat Latihan Selangor FC di sini, hari ini.

Terdahulu, Faisal membuat kemunculan sulung selepas tragedi berkenaan dengan kawalan ketat anggota keselamatan diiringi isterinya Nur Syazwani Mizuana Shahril dan bapa Halim Saad.

Hadir sama Ketua Perubatan Sukan Selangor FC Dr Muhammad Hazwan Khair dan peguam Mohd Haijan Omar.

Dalam pada itu, tonggak Gergasi Merah itu mengakui rutin kehidupannya berbeza selepas insiden berkenaan dan perlu dibantu ahli keluarga untuk melaksanakan hampir semua perkara.

Menurut Faisal, semangat yang ditunjukkan seluruh ahli keluarganya sepanjang tempoh pemulihan memberikan harapan baharu untuk kembali bangkit dan beraksi semula di padang.

“Selepas kejadian ini kehidupan saya berbeza. Saya tidak boleh ke tandas sendiri, tidak boleh makan sendiri, apa-apa yang saya mahu buat perlukan bantuan terutamanya daripada isteri.

“Begitu juga dengan keluarga saya. Mereka datang pantau dan jaga saya. Semangat keluarga itu yang saya bawa untuk kekal bersemangat bermain bola sepak,” katanya.

Pada 5 Mei, arena bola sepak dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan mengalami lecur tahap empat.

Pemain sayap lincah berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa pemulihan yang diurus Selangor FC membabitkan latihan fizikal dan pengurusan emosi.


Pengarang :