Pemain Harimau Malaya Faisal Halim meraikan jaringan ketika menentang Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, Qatar pada 25 Januari 2024. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Faisal kuat semangat, yakin proses pemulihan lebih cepat

SHAH ALAM, 6 JUN: Pemain Selangor FC, Faisal Halim memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk kembali pulih daripada kecederaan akibat serangan simbahan asid.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata tonggak pasukan kebangsaan itu dilihat bersemangat menjalani rawatan susulan selain yakin proses pemulihan dapat dipercepatkan.

“Faisal kini sedang berehat dan menjalani rawatan susulan. Semangatnya cukup kuat dan kemungkinan proses pemulihan dapat dipercepatkan.

“Selangor FC memaklumkan mungkin ambil masa enam bulan untuk pulih tapi kita doakan mudah-mudahan beliau dapat sembuh lebih awal,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu Najwan ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran di Bandar Nusa Rhu di sini, hari ini.

Wakil rakyat Kota Anggerik itu menjelaskan Faisal turut mengalami trauma akibat serangan berkenaan namun sedang dibantu pihak bertanggungjawab.

“Trauma (Faisal) memang ada tapi dalam proses untuk kita bantu pasca serangan tersebut,” katanya ringkas.

Bulan lalu, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan Faisal ditempatkan di lokasi rahsia bagi menjalani proses pemulihan sepenuhnya.

Menurutnya keputusan tersebut dibuat atas faktor keselamatan sejurus pemain berumur 26 tahun itu dibenarkan keluar hospital pada 25 Mei lalu.

Pada 5 Mei lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal mengalami cedera melecur tahap empat akibat disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya.


Pengarang :