Bekas atlet negara Lee Jeng Yen dipilih antara 26 pengadil untuk mengadili perlawanan taekwando di Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Guru sekolah swasta dipilih pengadil taekwando di Olimpik Paris

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Meskipun tiada atlet taekwando negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, Malaysia akan diwakili pada temasya sukan itu.

Ini selepas bekas atlet negara Lee Jeng Yen dipilih sebagai antara 26 pengadil untuk mengadili perlawanan Kyorugi (Sparing) pada acara sukan terbesar dunia dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Ini merupakan kali kedua guru di sebuah sekolah swasta itu dipilih sebagai pengadil di sukan Olimpik selepas mengadili perlawanan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya lebih teruja kali ini kerana sukan Olimpik terakhir diadakan ketika pandemik Covid-19 tanpa kehadiran penonton.

“Venue kali ini iaitu Grand Palais dijangka menerima kehadiran penonton yang ramai dan keunikan struktur serta reka bentuknya pasti memberikan pengalaman luar biasa,” katanya.

Bagaimanapun perjalanan Jeng Yen yang lebih dikenali sebagai Jennet ke sukan Olimpik tidak mudah kerana perlu melalui beberapa pusingan pemilihan selama hampir setahun termasuk sesi penilaian dan kem latihan.

Jennet, 42, perlu bersaing dengan hampir 100 calon lain dalam pemilihan di peringkat Asia dengan menjalani ujian teori, fizikal dan pengurusan permainan.

“Hanya 16 akan ke pusingan seterusnya yang terdiri daripada 58 calon terbaik dari seluruh dunia. Saya satu-satunya dari Malaysia. Kami kemudiannya menjalani satu lagi pusingan penilaian sebelum 26 pengadil dipilih masing-masing melibatkan 13 lelaki dan 13 wanita.

“Kami telah dinilai melalui pertandingan peringkat tertinggi seperti Kejohanan Dunia dan Grand Prix Taekwando Dunia serta Kelayakan Olimpik Paris untuk Oceania dan Afrika,” katanya.

Jennet pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai pertandingan daripada Sukan SEA hingga Kejohanan Dunia antara 2009 dan 2016, selain turut berkhidmat sebagai jurulatih.

Kali terakhir atlet taekwando Malaysia layak bertanding di Olimpik ialah pada Sukan Olimpik Beijing 2008 menerusi Elaine Teo dan Che Chew Chan, masing-masing beraksi dalam kategori wanita bawah 57 kilogram (kg) dan lebih 67 kg.

– BERNAMA


Pengarang :