Patung Sir Stamford Raffles di Laman Pendaratan Raffles di sepanjang Sungai Singapura. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Hong Kong, Singapura antara 10 bandar termahal dunia

LONDON, 17 JUN: London tersenarai antara 10 bandar paling mahal di dunia untuk pekerja ekspatriat berdasarkan indeks global, lapor Agensi Berita (dpa) Jerman.

Bandar itu naik sembilan anak tangga sejak tahun lalu dan kini berada di kedudukan kelapan dalam penarafan kos sara hidup di bandar oleh Mercer bagi 2024.

Faktor seperti kos sara hidup dan harga sewa menyumbang kepada penarafan ini.

Hong Kong mengekalkan kedudukan teratas tahun ini diikuti Singapura dan Zurich, Switzerland.

Paris berada di kedudukan ke-29 dan Dublin pada kedudukan ke-41.

Indeks itu merangkumi 226 lokasi di seluruh dunia dan diukur berdasarkan 200 faktor termasuk pengangkutan, makanan, pakaian, barangan isi rumah dan hiburan.

Mercer, sebuah perniagaan Marsh McLennan menyusun penarafan ini bagi membantu majikan multinasional merancang pakej pampasan untuk pekerja.

Peningkatan kos perumahan di kebanyakan bandar di seluruh dunia menjadi cabaran kepada majikan, dengan trend inflasi yang tidak menentu juga memberi tekanan kepada pakej pampasan pekerja, menurut Mercer.

 

Berikut ialah kedudukan bandar dengan kos sara hidup tertinggi 2024 oleh Mercer

1. Hong Kong

2. Singapura

3. Zurich, Switzerland

4. Geneva, Switzerland

5. Basel, Switzerland

6. Bern, Switzerland

7. New York, Amerika Syarikat

8. London, United Kingdom

9. Nassau, Bahamas

10. Los Angeles, Amerika Syarikat

– BERNAMA-dpa


Pengarang :