EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi ketika sesi bual bicara di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 1 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ibu bapa perlu tunjuk teladan, galak anak minat membaca

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Ibu bapa perlu menunjukkan sifat minat membaca buku sekiranya mahu ia menjadi tauladan kepada anak-anak.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi mengakui ibu bapa kini berada dalam fasa penuh cabaran untuk membesarkan anak kerana faktor arus pemodenan gajet.

“Cabaran membesarkan anak ketika ini adalah kerana faktor mereka terdedah dengan gajet dan media sosial seperti TikTok dan YouTube hingga mengabaikan bahan bacaan.

“Justeru, bagi saya sekiranya kita mahu anak rajin membaca pastikan bermula daripada kita sendiri sebagai ibu bapa mula tunjuk minat itu, baru ia menjadi ikutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi bual bicara berjudul Memartabat Generasi Dengan Membaca di Pavilion Selangor@ Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL24) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Mohd Najwan turut berkongsi panduan kepada ibu bapa untuk menarik minat anak membaca antaranya dengan mempelbagaikan bahan bacaan mereka dan haruslah berunsur ilmiah.

“Contoh sekiranya minat anak kita menjurus kepada komik atau majalah, ibu bapa boleh carikan komik dan majalah ilmiah. Sekarang sudah banyak di pasaran asalkan kita pupuk minat membaca mereka sedari kecil.

“Ini antara cara untuk mendekatkan anak dengan ilmu dan apabila mereka berilmu setiap individu itu dilihat bernilai di mata seseorang sebab itu perlu lebih banyak membaca kerana ia merupakan kekuatan ilmu,” jelasnya.

PBAKL 2024 yang berlangsung sehingga 2 Jun diadakan secara hidbrid iaitu bersemuka dan dalam talian dalam usaha memartabatkan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan.

Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang menerima geran Kerajaan Negeri yang giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre akan turut berada di PBAKL 2024 dengan menawarkan lebih 80 judul buku terbitannya.

Pembeli buku terbitan IBDE bakal menikmati diskaun antara 10 hingga 20 peratus bagi setiap pembelian selain berpeluang memenangi cabutan bertuah dan hadiah istimewa.


Pengarang :