Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) semasa sidang media berkenaan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 18 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ibu bapa Zayn Rayyan disaran lapor polis jika berasa terancam

BANDAR BAHARU, 15 JUN: Keluarga kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin disaran membuat laporan polis sekiranya berasa terancam susulan penyebaran dikatakan laporan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu di media sosial.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata menjadi tanggungjawab polis untuk menjaga keselamatan rakyat selain memastikan siasatan kes tersebut berjalan lancar.

“Kes ini dianggap kes yang berprofil tinggi. Insiden ini dah hampir enam bulan dan hakikat bahawa perkembangan terkini yang berlaku yang mungkin sesetengah pihak anggap memeranjatkan, tetapi pihak polis secara profesional mengumpul maklumat dengan penuh berhati-hati.

“Pertama adalah seluruh siasatan polis berpandukan kepada peraturan dan disiplin. Polis tak boleh bertindak di atas persepsi, polis tak boleh bertindak di atas orang kata maklumat-maklumat yang samar, tak boleh.

“Jadi apabila polis buat satu siasatan terutama membabitkan kes pembunuhan macam ini, kertas siasatan polis bermaksud mewujudkan beberapa perkara yang menjadi rukun. Yang pertama, mayat (body). Yang kedua, motif. Yang ketiga, senjata. Jadi, siasatan polis dipandukan kepada prosedur yang begini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan peguam mewakili ibu bapa kanak-kanak itu yang dilaporkan tidak menolak kemungkinan meminta perlindungan tambahan daripada polis terhadap anak guam mereka yang kini dibebaskan dengan jaminan.

Saifuddin Nasution juga meminta orang ramai mengelak daripada mengeluarkan sebarang komen di media sosial yang bersifat mengganggu siasatan atau memberikan pandangan berdasarkan persepsi.

Beliau berkata pihak polis perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyiasat kes itu yang dilakukan secara profesional dan objektif bagi melengkapkan kertas siasatan.

Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar yang didakwa sebagai laporan siasatan membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan Bernama sebagai berkata polis akan menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan tangkap layar berkenaan.

Selain itu, polis turut mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menurunkan tangkap layar tersebut.

— BERNAMA


Pengarang :