Dua beradik Mariam Abu Akel dan abangnya Hamed diselamatkan dari runtuhan rumah akibat serangan Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza pada 29 Disember 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Israel terus bertindak kejam, angka korban lebih 36,500 orang

ANKARA, 4 JUN: Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak Oktober lepas telah mencecah 36,550 orang, kata Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikepung itu pada Selasa.

Sekurang-kurangnya 82,959 orang turut cedera dalam serangan itu, tambah kementerian itu dalam satu kenyataan memetik Agensi Anadolu.

“Tentera Israel membunuh 71 orang dan mencederakan 182 yang lain dalam tujuh ‘pembunuhan beramai-ramai’ terhadap keluarga dalam tempoh 24 jam yang lepas,” menurut kementerian itu.

“Ramai orang masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” katanya.

Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas wilayah Palestin sejak 7 Okt 2023 walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata segera di wilayah itu.

Hampir lapan bulan selepas perang Israel, sebahagian besar gaza runtuh di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan.

Israel dituduh melakukan “pembunuhan beramai-ramai” di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang dalam keputusan terbarunya telah mengarahkan Tel Aviv untuk segera menghentikan operasinya di Rafah, iaitu lebih sejuta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.

— BERNAMA-ANADOLU

 

 


Pengarang :