Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemu bual Media Selangor di pejabat Jais, Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AGENDANASIONAL

Jais minta penjelasan Ustaz Don isu langgar ketetapan tauliah

SHAH ALAM, 25 JUN: Penceramah Ustaz Don Daniyal Don Biyajid perlu mengemuka kenyataan bertulis kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung fakta kuliah ceramah agama yang dibuat.

Keputusan selaras Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 itu supaya penggantungan atau penarikan semula tauliah tidak dikenakan kepada beliau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata pihaknya turut membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berdasarkan aduan diterima.

“Jais amat berharap semua pihak di Selangor dapat berkerjasama dan akur untuk tidak mengundang atau membatalkan sesi ceramah atau apa jua bentuk pengajaran agama Islam melibatkan Ustaz Don.

“(Keputusan ini) sehingga Jawatankuasa Tauliah membuat keputusan muktamad tentang kedudukan beliau sebagai pemegang tauliah mengajar Mais,” kata Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 Jun, Jais mengarahkan semua agensi dan rumah ibadat menangguhkan atau tidak mengundang Ustaz Don Daniyal untuk mengajar atau apa-apa perkara berkaitan Islam di premis masing-masing.

Keputusan ini susulan isu pengajaran atau ceramah agama Islam disampaikannya disyaki melanggar beberapa ketetapan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Dalam kenyataan sama, Mohd Shahzihan turut meningatkan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya pemegang tauliah memberi kefahaman Islam yang tepat mengikut sumber sahih.

“Sehubungan itu, Jais perlu menghentikannya dengan segera supaya tidak berleluasa apa jua pandangan dan pernyataan hukum-hakam agama yang tidak berasaskan nas dan dalil sahih,” katanya.

Pada 5 Jun, Ustaz Don direhatkan daripada bersiaran dalam rancangan Salam Baitullah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) berikutan dakwaannya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Sehari selepas bersiaran semula pada 13 Jun, RTM kemudian menamatkan khidmat penceramah itu sebagai pengacara program selepas beliau mengingkari arahan penerbit dan tidak mematuhi skrip.

Perkongsian penceramah itu dipertikai apabila menyentuh hadis yang mengatakan memandang pada wajah guru lebih baik daripada menyedekahkan 1,000 ekor kuda di jalan Allah.

 


Pengarang :